Kembali

bahasa Melayu

ملايو

Pengajaran Penting

1 video
PDF

Wuduk

3 video
Description of Wudu
0:00 / 0:00
How to Perform Wudu
0:00 / 0:00
Wudu Affairs
0:00 / 0:00

Solat

3 video
Description of Prayer
0:00 / 0:00
Salah with Duaa
0:00 / 0:00
How to Perform Prayer
0:00 / 0:00

Soalan Penting

279 soalan
Bahagian Akidah42

Soalan 1: Siapakah Tuhan kamu?

Jawapan: Tuhan saya adalah Allah yang menciptakan saya dan seluruh makhluk, Dia mengurniakan nikmat-Nya kepada semua makhluk, dan Dialah satu-satunya yang saya sembah. Dia adalah pencipta, pemilik, pemberi rezeki dan pengatur segala yang ada di alam ini.
Dalilnya, firman Allah: "Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam." (Surah al-Fatihah: 2)

Soalan 2: Apakah agamamu?

Jawapan: Agama saya adalah Islam. Islam bermaksud tunduk kepada Allah dengan mentauhidkan-Nya, patuh kepada-Nya, dan menjauhkan diri daripada syirik serta orang-orang yang menyekutukan-Nya.
Dalilnya, firman Allah: "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali 'Imran: 19)

Soalan 3: Siapakah nabi kamu?

Jawapan: Nabi saya adalah Muhammad Sallallah 'Alayhi Wasallam (SAW).
Dalilnya, firman Allah: "Muhammad itu adalah Rasulullah." (Surah al-Fath: 29)

Soalan 4: Sebutkan kalimah tauhid dan maksudnya?

Jawapan: Kalimah tauhid ialah "La ilaha illallah". Maksudnya ialah tiada yang berhak disembah selain Allah.
Firman Allah:
"Ketahuilah bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah." (Surah Muhammad: 19)
Firman Allah lagi: "Yang demikian itu kerana Allah adalah sembahan yang sebenar dan segala yang mereka sembah selain daripada-Nya adalah batil." (Surah al-Hajj: 62)

Soalan 5: Di manakah Allah?

Jawapan: Allah berada di atas langit, di atas Arasy, di atas semua makhluk-Nya. Firman Allah: "Tuhan Yang Maha Pemurah bersemayam di atas Arasy." (Surah Taha: 5)
Firman Allah juga: "Dan Dia menguasai hamba-hamba-Nya dari atas; Dia Maha Bijaksana, Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-An’am: 18)

Soalan 6: Apakah maksud syahadah bahawa Muhammad adalah Rasulullah?

Jawapan: Maksudnya ialah Allah mengutuskan Nabi Muhammad kepada seluruh manusia sebagai pemberi berita gembira dan peringatan.
Kita wajib:

1. Mentaati perintah baginda.
2. Mempercayai khabar yang disampaikan baginda.
3. Tidak mengingkari baginda.
4. Tidak menyembah Allah melainkan dengan cara baginda; iaitu dengan mengikuti Sunnah dan meninggalkan Bidaah.
Firman Allah:
"Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka dia telah taat kepada Allah." (Surah an-Nisa’: 80)
Firman Allah juga: "Baginda tidak pernah berbicara dengan hawa nafsunya. Setiap ucapan baginda hanyalah wahyu daripada Allah." (Surah al-Najm: 3-4)
Firman Allah lagi: "Sumpah! Pada diri Rasulullah itu terdapat contoh teladan bagi kamu, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan syurga, dan sentiasa mengingati Allah." (Surah al-Ahzab: 21).

Soalan 7: Mengapa Allah menciptakan kita?

Jawapan: Allah menciptakan kita untuk menyembah-Nya. Dia tidak menciptakan kita dengan sia-sia atau untuk bermain-main tanpa tujuan. Allah juga tidak membiarkan kita begitu sahaja.
Firman Allah:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." (Surah al-Dhariyat: 56).

Soalan 8: Apakah itu ibadah?

Jawapan: Ibadah adalah segala perbuatan yang Allah suka dan reda, sama ada perkataan atau perbuatan, yang zahir atau batin.
- Ibadah zahir: Seperti berzikir dengan lisan, solat, haji.
- Ibadah batin: Seperti bertawakal, takut dan berharap kepada Allah.

Soalan 9: Apakah kewajipan terbesar kita?

Jawapan: Kewajipan terbesar kita ialah mentauhidkan Allah.
Firman Allah:
"Dan mereka hanya diperintahkan supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepada-Nya dalam menjalankan ibadah, berpaling dari syirik." (Surah al-Bayyinah: 5).

Soalan 10: Apakah aspek-aspek tauhid?

Jawapan:

Aspek pertama: Tauhid Rububiyyah: Iaitu beriman bahawa hanya Allah sahaja pencipta, pemberi rezeki, pemilik dan pengatur alam ini.
Aspek kedua:
Tauhid Uluhiyyah: Iaitu mengesakan Allah dalam ibadah, dengan hanya menyembah-Nya dan tiada yang lain.
Aspek ketiga:
Tauhid Asma' wa Sifat: Iaitu beriman dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran dan sunnah, tanpa menyerupakan, menafikan, mentakwilkan, atau bertanya bagaimana.
Dalil tiga aspek tauhid ini:
Firman Allah: "Allah adalah Tuhan empunya langit, bumi dan setiap yang ada di antara keduanya. Maka sembahlah Dia sahaja, dan bersabarlah dalam ibadah kepada-Nya. Tidak ada yang serupa dengan-Nya." (Surah Maryam: 65).

Soalan 12: Apakah dosa yang terbesar?

Jawapan: Dosa yang terbesar adalah dosa syirik kepada Allah.
Allah SWT berfirman:
"Sungguh! Allah tidak mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan dosa-dosa selain syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka dia telah melakukan dosa yang sangat besar!" (Surah al-Nisa': 48)

Soalan 12: Apakah itu syirik? Sebutkan jenis-jenisnya.

Jawapan: Syirik itu adalah seseorang mengambil sekutu bagi Allah, sama ada dalam ibadah, atau ketuhanan, atau nama dan sifat Allah.
Beribadat kepada selain Allah adalah kesyirikan, tanpa mengira jenis ibadat tersebut.
Jenis-jenis syirik:
- Syirik Besar, seperti berdoa kepada selain Allah, atau bersujud kepada selain Allah, atau menyembelih korban untuk selain Allah.
- Syirik Kecil, iaitu perbuatan syirik yang belum sampai tahap menjadikan seseorang murtad (keluar Islam). Seperti bersumpah dengan selain nama Allah, atau menggunakan tangkal untuk elak bala, atau riyak yang sedikit, seperti seseorang memperbaiki solatnya apabila sedar ada orang sedang memerhatikannya.

Soalan 13: Siapakah yang mengetahui perkara ghaib selain Allah?

Jawapan: Tiada sesiapa yang tahu tentang perkara ghaib, kecuali Allah.
Allah SWT berfirman:
"Sampaikanlah, wahai Rasul: Tiada sesiapa yang di langit mahupun di bumi, yang mengetahui perkara ghaib, kecuali Allah. Mereka tidak mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan semula." (Surah al-Naml: 65).

Soalan 14: Nyatakan rukun-rukun iman.

Jawapan: Rukun Iman ada enam:
1. Beriman kepada Allah.
2. Beriman dengan para malaikat-Nya.
3. Beriman dengan kitab-kitab-Nya.
4. Beriman dengan para rasul-Nya.
5. Beriman dengan hari akhirat.
6. Beriman dengan takdir, sama ada yang baik atau yang buruk.
Dalilnya, hadis Jibrail yang masyhur dalam Sahih Muslim. Jibrail bertanya kepada Nabi SAW: "Ceritakan kepadaku berkenaan Iman." Baginda SAW menjawab, "Iman itu kamu beriman kepada Allah, dengan para malaikat-Nya, dengan semua kitab-Nya, dengan para rasul-Nya, dengan hari akhirat, dan kamu beriman dengan takdir baik dan buruk."

Soalan 15: Terangkan makna rukun-rukun Iman tersebut.

Jawapan: Beriman kepada Allah adalah: Kamu beriman bahawa Allah SWT yang menciptakan dan memberi rezeki kepada kamu. Dialah satu-satunya pemilik dan pentadbir alam jagat ini. Dia jugalah sembahan yang hakiki. Tiada sesiapa yang berhak disembah selain Allah. Segala hukum-hakam dan perundangan adalah hak Allah semata-mata.
Dia adalah Maha Agung, Maha Besar, Maha Sempurna, segala puji-pujian adalah hak-Nya. Dia memiliki nama-nama terindah dan sifat-sifat teragung. Dia tidak memiliki sekutu, tiada sesiapa yang menyerupai-Nya.
Beriman dengan malaikat, mereka adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada cahaya untuk beribadah dan mematuhi perintah-Nya.
Allah SWT berfirman:
"Bahkan para malaikat itu adalah hamba-hamba yang dimuliakan; mereka tidak pernah mendahului-Nya dengan pendapat mereka, bahkan mereka melaksanakan setiap perintah-Nya." (Surah al-Anbiya': 26-27).
Nabi SAW bersabda:
"Malaikat tercipta daripada cahaya." Hadis riwayat Muslim.
- Di antara malaikat adalah Malaikat Jibrail yang ditugas membawa wahyu kepada para nabi. Allah SWT berfirman: "Sungguh! Al-Quran itu benar-benar diturunkan Tuhan Semesta Alam, Ia dibawa turun oleh Jibrail yang amanah; ke atas hatimu, wahai Nabi, supaya kamu menjadi orang yang memberi peringatan; Ia diturunkan dengan bahasa Arab yang jelas." [Surah al-Syu'ara': 192-195]
Beriman dengan Kitab: Iaitu kitab-kitab yang Allah turunkan kepada para rasul-Nya.
Seperti:

- al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,
- Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS,
- Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS,
- Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Dawud AS,
- Suhuf, iaitu skrol-skrol yang diturunkan kepada Ibrahim dan Musa AS.
Beriman dengan para rasul:
Para rasul adalah orang-orang yang Allah utuskan kepada manusia untuk mendidik mereka, menyampaikan berita gembira tentang kebaikan dan syurga, dan memberi amalan tentang kejahatan dan neraka.
Rasul yang paling mulia adalah Para Rasul Ulul Azmi, iaitu:
- Nabi Nuh AS.
- Nabi Ibrahim AS.
- Nabi Musa AS.
- Nabi 'Isa AS.
- Nabi Muhammad SAW.
Beriman dengan hari akhirat:
Iaitu kehidupan selepas kematian, bermula di dalam kubur, hari Kiamat, hari perhitungan, sehinggalah apabila ahli syurga berehat di syurga, dan ahli neraka dihumbah ke dalam neraka.
Allah ﷻ berfirman:
"Setiap nyawa pasti merasakan kematian; dan kamu akan diberi balasan pada hari Kiamat kelak; maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka, dimasukkan ke dalam syurga, maka dia benar-benar telah berjaya. Tidaklah kehidupan dunia melainkan hiburan yang menipu daya." [Surah Ali 'Imran: 185]
Beriman dengan ketentuan Allah:
Iaitu meyakini bahawa Allah SWT mengetahui setiap yang berlaku di alam ini, Dia telah menuliskannya di Lauh Mahfuz, dan Dia berkehendak ia terjadi dan Dia menciptakannya.
Allah SWT berfirman:
"Sungguh! Kami menciptakan setiap sesuatu dengan takdir." [Surah al-Qamar: 49]
Takdir boleh difahami dengan empat peringkat:
Peringkat pertama: Ilmu Allah SWT: Bahawa Allah mengetahui segala sesuatu yang berlaku di alam semesta ini, sama ada sebelum ia terjadi atau selepas ia terjadi.
Dalilnya:
Firman Allah SWT: "Sungguh di sisi Allah sahaja pengetahuan tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan Dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diperolehnya esok, dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah Luqman: 34)
Peringkat kedua: Penulisan di Lawh Mahfuz, bahawa segala sesuatu yang telah terjadi dan akan terjadi sudah termaktub dalam Lawh Mahfuz (lembaran catatan yang terpelihara).
Dalilnya:
Firman Allah SWT: "Dan hanya di sisi Allah sahaja terletak kunci-kunci segala yang ghaib, tiada yang mengetahuinya selain Dia, dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut, tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya. Dan tiada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, tiada sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lawh Mahfuz)." (Surah al-An’am: 59)
Peringkat ketiga: Segala sesuatu yang terjadi adalah atas kehendak Allah, dan tiada sesuatu pun yang berlaku melainkan dengan izin dan kehendak-Nya. Hamba itu mempunyai kehendak dan pilihan, tetapi kehendaknya tidak boleh berlaku melainkan dengan izin dan kehendak Allah SWT.
Dalilnya:
Firman Allah SWT: "Bagi sesiapa daripada kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus; tetapi kalian tidak akan mahukan sesuatu, melainkan jika Allah Tuhan Semesta Alam mahukan." (Surah al-Takwir: 28-29)
Peringkat keempat: Beriman bahawa segala yang terjadi adalah makhluk ciptaan Allah. Allah menciptakan zat, sifat dan pergerakannya dan segala yang terkandung di dalamnya.
Dalilnya:
Firman Allah SWT: “Dan Allah menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Saffat: 96)

Soalan 16: Apakah definisi Al-Quran?

Jawapan: Al-Quran ialah kalam Allah SWT, bukan makhluk.
Allah SWT berfirman:
"Dan jika seorang dari orang musyrik meminta perlindungan kepadamu maka lindungilah dia supaya dia dapat mendengar kalam Allah (al-Quran)." (Surah al-Tawbah: 6)
Dalam hadis: "Kemuliaan kalam Allah dibandingkan dengan kalam-kalam lain, adalah seperti kemuliaan Allah dibandingkan makhluk-Nya." Riwayat al-Tirmidhi.

Soalan 17: Apakah sunnah?

Jawapan: Sunnah ialah segala perkataan, perbuatan, pengakuran, atau sifat Nabi Muhammad SAW, baik sifat fizikal mahupun akhlak peribadi.

Soalan 18: Apakah itu bidaah? Adakah kita menerimanya?

Jawapan: Bidaah ialah segala sesuatu yang diada-adakan dalam agama yang tidak ada pada zaman Nabi SAW dan para sahabat.
Kita tidak menerimanya dan wajib menolaknya.
Nabi SAW bersabda:
"Setiap bidaah adalah sesat." Riwayat Abu Dawud.
Baginda SAW juga bersabda:
"Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan urusan kami, maka amalan tersebut tertolak." Riwayat Muslim.
Contoh bidaah:
Penambahan dalam ibadah, seperti basuhan wuduk 4 kali. Sama juga dengan menyambut Maulid Nabawi, kerana Nabi SAW dan para Sahabat tidak melaksanakannya.

Soalan 19: Apakah maksud akidah al-wala' dan al-bara'?

Jawapan:

Al-Wala': Mengasihi dan membela orang-orang beriman.
Allah SWT berfirman:
"Orang-orang beriman, baik lelaki atau wanita, adalah pembela antara satu sama lain." (Surah al-Tawbah: 71)
Al-Bara': Membenci dan memusuhi orang-orang kafir.
Allah SWT berfirman:
"Terdapat pedoman yang baik buat kamu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya, tatkala mereka berkata kepada kaum mereka, "Kami berlepas diri daripada kalian dan sembahan kalian selain Allah. Kami mengingkari kalian, dan telah nyata perseteruan dan kebencian antara kami dan kalian selama-lamanya; sehingga kalian beriman kepada Allah semata-mata." (Surah al-Mumtahanah: 4)

Soalan 20: Adakah Allah menerima agama selain Islam?

Jawapan: Allah tidak menerima agama selain Islam.
Allah SWT berfirman:
"Sesiapa yang mencari agama
selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima agama tersebut darinya, dan dia di akhirat kelak tergolong daripada orang-orang yang rugi." (Surah Ali 'Imran: 85)

Soalan 21: Kekufuran boleh berlaku dengan kata-kata, perbuatan dan keyakinan. Berikan contoh.

Jawapan:

Contoh kekufuran dalam kata-kata: Mencela Allah atau Rasul-Nya.
Contoh kekufuran dalam perbuatan:
Menghina al-Quran atau sujud kepada selain Allah.
Contoh kekufuran dalam keyakinan:
Mempercayai bahawa ada yang berhak disembah selain Allah atau ada pencipta selain Allah.

Soalan 22: Apakah itu nifaq (kemunafikan)? Apakah jenis-jenisnya?

Jawapan:

Nifaq besar: Menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keimanan.
Nifaq jenis ini menyebabkan seseorang keluar dari Islam dan termasuk dalam kekufuran besar.
Allah SWT berfirman:
"Sungguh! Orang-orang munafik akan dihumbankan ke dasar neraka, dan kamu tidak akan menemui sebarang pembela bagi mereka." (Surah al-Nisa': 145)
Nifaq kecil: Contohnya: berbohong, mengingkari janji dan khianat dalam amanah.
Nifaq jenis ini tidak menyebabkan seseorang keluar dari Islam. Namun ia termasuk dosa besar dan pelakunya terancam dengan azab.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tanda-tanda orang munafik ada tiga: jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberi amanah dia berkhianat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 23: Siapakah penutup para nabi dan rasul?

Jawapan: Baginda ialah Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman:
"Muhammad itu bukanlah bapa seseorang daripada kamu, tetapi baginda ialah utusan Allah dan penutup sekalian nabi." (Surah al-Ahzab: 40)
Rasulullah SAW bersabda: "Dan saya adalah penutup para nabi; tiada nabi lagi selepas saya." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi DLL.

Soalan 24: Apakah itu mukjizat?

Jawapan: Mukjizat adalah perkara luar biasa yang diberikan oleh Allah kepada para nabi untuk menunjukkan kebenaran mereka. Contohnya:
Terbelahnya bulan oleh Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman: Telah dekat saat (kedatangan hari kiamat) dan bulan pun telah terbelah. Dan jika mereka (orang kafir) melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling dan berkata '(Ini adalah) sihir yang terus-menerus.' Dan mereka mendustakan (Nabi) dan mengikuti keinginan mereka padahal setiap urusan telah ada ketetapannya." (Surah al-Qamar: 1-3)
Terbelahnya laut untuk Nabi Musa AS dan tenggelamnya Firaun dan tenteranya. Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah) ketika Kami membelah laut untuk kamu lalu Kami menyelamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Firaun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu menyaksikan." (Surah al-Baqarah: 50)

Soalan 25: Siapakah para sahabat? Dan adakah kita perlu mencintai mereka?

Jawapan: Sahabat ialah mereka yang bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam keadaan beriman dan wafat dalam Islam.
Kita wajib mencintai dan meneladani mereka kerana mereka adalah sebaik-baik manusia selepas para nabi.
Yang terbaik antara mereka adalah khalifah empat iaitu:

Abu Bakar RA
'Umar RA
'Uthman RA
'Ali RA
Firman Allah SWT tentang para sahabat: "Orang-orang yang terdahulu lagi pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar." (Surah al-Tawbah: 100)

Soalan 26: Siapakah ibu-ibu orang beriman?

Jawapan: Ibu-ibu orang beriman adalah isteri-isteri Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT:
"Nabi itu (sepatutnya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri, dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka." (Surah al-Ahzab: 6)

Soalan 27: Apakah hak kaum kerabat Nabi SAW ke atas kita?

Jawapan: Kita wajib mencintai mereka, berwala' kepada mereka, membenci sesiapa yang membenci mereka, dan tidak berlebihan terhadap mereka. Mereka terdiri daripada isteri-isteri baginda, keturunan baginda, Bani Hasyim, dan Bani Muttalib yang beriman.
Firman Allah SWT:
"ٍSebenarnya Allah hendak menghilangkan dosa daripada kalian, wahai Ahli Bait (kerabat Nabi), dan membersihkan kalian sebersih-bersihnya." (Surah al-Ahzab: 33)
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda: "Sahaya ingatkan kalian berkenaan hak-hak ahli baitku. Sahaya ingatkan kalian berkenaan hak-hak ahli baitku. Sahaya ingatkan kalian berkenaan hak-hak ahli baitku." Riwayat Muslim.

Soalan 28: Apakah kewajipan kita terhadap para pemimpin umat Islam?

Jawapan: Kewajipan kita ialah menghormati mereka, mendengar dan taat kepada mereka dalam perkara yang bukan maksiat, mendoakan dan menasihati mereka secara rahsia, serta tidak memberontak terhadap mereka kecuali jika melihat kekufuran yang nyata.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya serta pemimpin antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah al-Nisa': 59)

Soalan 29: Apakah tempat tinggal orang beriman?

Jawapan: Syurga.
Firman Allah SWT:
"Sungguh! Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai." (Surah Muhammad: 12)

Soalan 30: Apakah tempat tinggal orang kafir?

Jawapan: Neraka.
Firman Allah SWT:
"Maka peliharalah dirimu dari api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir." (Surah al-Baqarah: 24)

Soalan 31: Apakah maksud ibadah takut dan ibadah harap?

Jawapan:
Ibadah takut ialah perasaan gentar kepada Allah dan azab-Nya.
Ibadah harap pula ialah keinginan untuk mendapatkan pahala, keampunan dan rahmat Allah.
Dalilnya, firman Allah SWT: "Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka, siapa antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah), dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sesungguhnya azab Tuhanmu adalah sesuatu yang patut ditakuti." (Surah al-Isra': 57)
Allah SWT berfirman: "Beritahu para hamba-Ku, yang Aku adalah Maha Pengampun, Maha Mengasihani; yang azab-Ku adalah azab yang pedih." (Surah al-Hijr: 49-50)

Soalan 32: Sebutkan beberapa nama dan sifat Allah SWT.

Jawapan: Nama-nama Allah antaranya: Allah, al-Rabb, al-Rahman, al-Sami’, al-Basir, al-‘Alim, al-Razzaq, al-Hayyu, al-‘Azim, al-Hakim.

Soalan 33: Jelaskan nama-nama ini.

Allah: Bererti Tuhan yang satu-satunya berhak disembah, tanpa sekutu.
al-Rabb: Bererti Pencipta, Pemilik, Pemberi rezeki dan Pengurus segalanya.
al-Sami’: Allah mendengar segala suara walaupun berbeza-beza jenis bunyi.
al-Basir: Allah melihat segala sesuatu, sebesar atau sekecil mana pun ia.
al-‘Alim: Allah mengetahui segala sesuatu yang berlaku di masa lalu, kini, dan akan datang.
al-Rahman: Allah memiliki rahmat yang luas, meliputi semua makhluk. Setiap hamba dan ciptaan berada dalam naungan rahmat-Nya.
al-Razzaq: Allah memberi rezeki kepada semua makhluk, sama ada manusia, jin dan semua haiwan melata yang lain.
al-Hayyu: Allah Maha Hidup, tidak akan mati. Sedangkan semua ciptaan-Nya akan mati.
al-‘Azim: Allah memiliki segala kesempurnaan dan keagungan, pada nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya, dan perbuatan-perbuatan-Nya.
al-Hakim: Allah yang menciptakan dan memerintah dengan sempurna dan bijaksana.
Bijaksana bererti meletakkan sesuatu pada tempat dan kedudukannya yang bersesuaian.

Soalan 34: Apakah kewajipan kita terhadap para ulama Islam?

Jawapan: Kita mesti mencintai mereka, kembali kepada mereka dalam perkara-perkara dan isu-isu syariah, dan hanya menyebut kebaikan mereka. Sesiapa yang menyebut keburukan mereka tidak berada di atas jalan yang benar.
Allah SWT berfirman:
"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah: 11)

Soalan 35: Siapakah wali-wali Allah SWT?

Jawapan: Mereka adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa, yang mengikuti sunnah Nabi SAW.
Allah SWT berfirman:
"Ketahuilah, bahawa wali-wali Allah tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak akan berdukacita. Mereka adalah orang-orang yang beriman dan bertakwa." (Surah Yunus: 62-63)

Soalan 36: Adakah iman itu ucapan dan amalan?

Jawapan: Iman adalah ucapan, amalan dan keyakinan.
Ia adalah ucapan dengan lisan, keyakinan dalam hati dan amalan dengan anggota badan.
Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
"Iman itu terdiri daripada lebih daripada tujuh puluh - atau lebih daripada enam puluh - cabang. Cabang yang paling utama ialah ucapan: 'La ilaha illallah' dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan malu itu adalah salah satu cabang iman." Riwayat Muslim.

Soalan 37: Adakah iman bertambah dan berkurang?

Jawapan: Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat.
Allah SWT berfirman:
"Sungguh! Orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman mereka dan kepada Tuhan mereka, mereka bertawakal." (Surah al-Anfal: 2)

Soalan 38: Apakah ihsan?

Jawapan: Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia melihat kamu.

Soalan 39: Bilakah amalan diterima oleh Allah SWT?

Jawapan: Amalan diterima dengan dua syarat:
1. Ia dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT.
2. Ia dilakukan mengikut sunnah Nabi SAW.

Soalan 40: Apakah maksud tawakal kepada Allah SWT?

Jawapan: Tawakal ialah bergantung kepada Allah SWT dalam meraih kebaikan dan menolak keburukan, dengan tetap berusaha mengambil sebab-sebab yang wajar.
Allah SWT berfirman:
"Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, Dia pasti akan mencukupkannya." (Surah al-Talaq: 3)
Ertinya: Mencukupkan keperluannya.

Soalan 41: Apakah itu amar makruf dan nahi munkar?

Jawapan:

Amar makruf: Ialah menyeru kepada segala bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Nahi munkar: Ialah mencegah segala bentuk kemaksiatan kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah." (Surah Ali 'Imran: 110)

Soalan 42: Siapakah Ahlus Sunnah wal Jamaah?

Jawapan: Mereka adalah orang-orang yang mengikuti apa yang dipegang oleh Nabi SAW dan para sahabatnya dalam ucapan, amalan dan keyakinan.
Mereka dinamakan Ahlus Sunnah kerana mereka mengikuti sunnah Nabi SAW dan meninggalkan bidaah.
Mereka dinamakan al-Jamaah kerana mereka bersatu atas kebenaran dan tidak berpecah-belah dalamnya.
Rasulullah SAW bersabda:
"Bani Israel telah berpecah kepada 72 golongan, dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu golongan." Para sahabat bertanya: 'Siapakah mereka, wahai Rasulullah?' Baginda bersabda: 'Mereka yang mengikuti apa yang aku dan para sahabatku amalkan.'" Riwayat al-Tirmidhi.

Bahagian Fiqh48

Soalan 1: Apakah itu Taharah (Bersuci)?

Jawapan: Taharah bermaksud menghilangkan halangan untuk beribadat iaitu dengan membersihkan diri daripada hadas atau najis yang menghalang daripada mendirikan solat.
Nabi SAW bersabda:
"Kunci solat adalah bersuci." Riwayat Abu Dawud.
Taharah daripada najis (kotoran): Ini bermaksud membersihkan tubuh, pakaian, atau tempat solat daripada najis.
Taharah daripada hadas:
Ini dilakukan dengan mengambil wuduk atau mandi dengan air suci, atau bertayamum apabila tiada air atau tidak mampu menggunakannya.

Soalan 2: Bagaimana cara membersihkan najis?

Jawapan: Najis dibersihkan dengan membasuhnya dengan air sehingga hilang. Jika najis itu daripada jilatan anjing, ia mesti dibasuh tujuh kali dengan basuhan pertama menggunakan tanah.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Sucinya sesuatu bekas jika dijilat anjing ialah dengan membasuhnya tujuh kali, yang pertama dengan tanah." Riwayat Muslim.

Soalan 3: Apakah kelebihan wuduk?

Jawapan: Nabi SAW bersabda: "Apabila seorang Muslim berwuduk, apabila dia membasuh wajahnya, keluarlah dosa-dosa yang dilakukan oleh matanya bersama air. Apabila dia membasuh tangannya, dosa-dosa yang dilakukan oleh tangannya keluar bersama air. Apabila dia membasuh kakinya, keluarlah dosa-dosa yang dilakukan oleh kakinya bersama air sehingga dia keluar dalam keadaan bersih daripada dosa." Riwayat Muslim.

Soalan 4: Bagaimanakah cara mengambil wuduk?

Jawapan: Dengan membasuh tangan tiga kali. Berkumur, menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya tiga kali.
Berkumur adalah memasukkan air ke dalam mulut, kemudian memuntahkannya semula.
Cara menyedut air ke dalam hidung adalah dengan menyedut air dengan nafas ke dalam hidung dengan menggunakan tangan kanan.
Cara menghembuskan air dari hidung adalah menghembuskannya dengan tangan kirinya.
Kemudian membasuh muka sebanyak tiga kali.
Kemudian membasuh kedua-dua tangan termasuk siku sebanyak tiga kali.
Kemudian menyapu kepala dengan dua tangan, dari depan ke belakang, dan belakang ke depan, kemudian menyapu kedua-dua telinga.
Kemudian membasuh dua kaki termasuk buku lali sebanyak tiga kali.
Inilah tatacara wuduk paling sempurna dalam hadis-hadis Nabi yang diriwayat 'Uthman bin 'Affan, Abdullah bin Zayd, dan lain-lain, dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.
Dalam Sahih al-Bukhari juga dinyatakan: "Baginda berwuduk sekali, sekali. Baginda berwuduk dua kali, dua kali." Ertinya: Kadangkala, baginda membasuh setiap anggota sekali sahaja, atau dua kali.

Soalan 5: Apakah rukun-rukun wuduk? Berapakah bilangannya?

Jawapan: Rukun wuduk adalah perbuatan yang tidak sah wuduk jika ditinggalkan salah satu daripadanya.
1. Membasuh muka, termasuk berkumur dan menyedut air ke dalam hidung.
2. Membasuh kedua-dua tangan termasuk siku.
3. Menyapu kepala, termasuk dua telinga.
4. Membasuh dua kaki termasuk buku lali.
5. Mengikut tertib anggota ini. Iaitu dengan membasuh muka, kemudian dua tangan, kemudian menyapu kepala, kemudian membasuh kaki.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat, basuhlah wajahmu, tanganmu hingga ke siku, sapulah kepalamu, dan basuh kakimu hingga ke buku lali." (Surah al-Ma'idah: 6)
6. Berturutan, iaitu melakukan perbuatan-perbuatan ini secara bersambungan, tanpa sebarang jeda waktu yang sempat anggota wuduk sebelumnya menjadi kering. Seperti dia berwuduk separuh, kemudian dia menyambung wuduknya pada waktu lain. Wuduk begini tidak sah.
Ini berdasarkan hadis:
"Nabi SAW melihat seorang lelaki yang sedang solat, padahal pada kakinya terdapat suatu kawasan sebesar 50 sen yang tidak terkena air. Maka baginda mengarahkan lelaki itu mengulang wuduk dan solat." Riwayat Abu Dawud.

Soalan 6: Apakah sunat wuduk dan bilangannya?

Jawapan: Sunat wuduk adalah perbuatan yang jika dilakukan, dia mendapat pahala lebih. Jika dia tinggalkan, tidak berdosa dan wuduknya tetap sah.
1. Menyebut nama Allah dengan mengucapkan: Bismillah. Sunah ini berdasarkan hadis: "Tidak sempurna wuduk bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah pada wuduknya." Riwayat Abu Dawud.
2. Bersugi. Sunah ini berdasarkan hadis: "Sekiranya bukan kerana saya tidak mahu menyukarkan umatku, pastilah saya perintahkan mereka untuk bersugi setiap kali berwuduk." Riwayat Ahmad.
3. Membasuh kedua-dua pergelangan tangan.
4. Menyelat antara celah-celah jari. Sunah ini berdasarkan hadis: "Sempurnakanlah wuduk. Selatlah celah-celah jari. Bersungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung, kecuali jika dia berpuasa." Riwayat kitab-kitab Sunan.
5. Basuhan kedua dan ketiga anggota wuduk.
6. Memulakan anggota kanan terlebih dahulu, Berdasarkan hadis 'Aisyah RA: "Nabi SAW gemar untuk memulakan dengan kanan ketika menyarung capal, ketika bersikat, ketika bersuci, dan pada semua urusannya yang lain." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Bacaan selepas wuduk: "Saya bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." Riwayat Muslim.
8. Solat dua rakaat selepas berwuduk. Sunah ini berdasarkan hadis: "Sesiapa yang berwuduk seumpama wudukku ini, kemudian dia mendirikan solat sunat dua rakaat, dia tidak melayan bicara dirinya dalam dua rakaat itu, maka akan diampunkan segala dosa kecilnya yang berlalu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 7: Apakah perkara-perkara yang membatalkan wuduk?

Jawapan:

Keluarnya sesuatu daripada kemaluan depan atau belakang, sama ada air besar, air kecil, mahupun angin.
Tidur nyenyak, atau gila atau pengsan. Ini berdasarkan hadis: "Mata itu tali ikat lubang belakang. Sesiapa yang tertidur, hendaklah dia berwuduk." Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah.
Makan daging unta. Seorang lelaki bertanya Nabi SAW, "Adakah perlu berwuduk selepas makan daging unta?" Baginda bersabda, "Ya." Riwayat Muslim.
Menyentuh kemaluan depan atau belakang tanpa sebarang alas. Ini berdasarkan hadis: "Sesiapa yang menyentuh kemaluannya, hendaklah dia berwuduk semula." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan lain-lain.

Soalan 8: Apakah itu tayamum?

Jawapan: Tayamum ialah menggunakan tanah atau lain-lain debu bumi untuk bersuci ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air.
Firman Allah SWT:
"Jika kamu tidak menemukan air, maka bertayamumlah dengan debu yang bersih, lalu sapukanlah ke wajah dan tanganmu." (Surah al-Nisa': 43)

Soalan 9: Bagaimanakah bertayamum?

Jawapan: Tayamum dilakukan dengan menepuk kedua-dua tangan ke atas tanah yang bersih, kemudian menyapukannya ke muka dan kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan.
Nabi SAW bersabda kepada Ammar bin Yasir:
"Cukuplah kamu melakukan seperti ini." Kemudian Nabi SAW menepukkan kedua-dua tangan ke tanah, lalu menyapukan ke muka dan kedua-dua tangan. Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 10: Apakah yang membatalkan tayamum?

Jawapan: Tayamum terbatal dengan:
- Semua perkara yang membatalkan wuduk.
- Apabila menemui air, bagi mereka yang bertayamum kerana ketiadaan air.

Soalan 11: Apakah itu khuf dan stoking? Adakah dibolehkan menyapu wuduk di atasnya?

Jawapan:
Khuf: Stoking kaki yang diperbuat daripada kulit.
- Stoking: Sebarang penutup kaki yang bukan diperbuat dari kulit.
Dibolehkan menyapu di atas khuf dan stokin sebagai ganti daripada membasuh kaki dalam wuduk dengan syarat tertentu.
Riwayat daripada al-Mughirah bin Syu'bah RA bahawa Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas stoking. Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan lain-lain.
Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Lalu baginda berwuduk dan menyapu wuduk di atas kedua-dua khuf."

Soalan 12: Apakah hikmah dibenarkan menyapu di atas khuf atau stoking?

Jawapan: Tujuan dibolehkan menyapu di atas khuf atau stoking ialah untuk memberi kemudahan dan keringanan kepada umat Islam, terutamanya dalam keadaan sejuk, musim dingin, atau dalam perjalanan. Firman Allah SWT: "Allah menginginkan kemudahan untuk kamu dan tidak menginginkan kesusahan." (Surah al-Baqarah: 185)

Soalan 13: Apakah syarat-syarat sah menyapu di atas khuf atau stoking?

Jawapan: Syarat-syarat sah menyapu di atas khuf atau stokin ialah:

1. Memakainya dalam keadaan suci, iaitu selepas berwuduk.
Riwayat daripada al-Mughirah R.A bahawa beliau berkata: “Saya pernah bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan. Ketika saya ingin menanggalkan khuf baginda, baginda bersabda: 'Biarkanlah khuf itu kerana saya menyarungnya dalam keadaan suci.' Lalu baginda menyapu di atas kedua-dua khuf tersebut." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
2. Khuf atau stoking tersebut hendaklah suci. Tidak boleh menyapu wuduk atas khuf bernajis.
3. Hendaklah khuf atau stoking menutup anggota kaki yang wajib dibasuh ketika berwuduk.
4. Hendaklah sapuan tersebut hanya dilakukan dalam tempoh masa yang tertentu sahaja. Iaitu 24 jam bagi bukan musafir, 72 jam bagi musafir.
Ali bin Abi Talib R.A meriwayatkan: Rasulullah SAW menetapkan tempoh menyapu bagi musafir ialah tiga hari tiga malam, manakala bagi orang yang tidak musafir (bermukim) ialah sehari semalam. Riwayat Muslim.

Soalan 14: Bagaimanakah cara menyapu di atas khuf atau stokin?

Jawapan: Cara menyapu ialah dengan meletakkan tapak tangan yang basah pada kawasan jari kaki, kemudian melalukan tangannya hingga ke betis. Kaki kanan disapu dengan tangan kanan, dan kaki disapu kiri dengan tangan kiri. Jari tangan hendaklah direnggangkan semasa menyapu dan tidak perlu mengulangi sapuan.

Soalan 15: Apakah yang membatalkan sapuan di atas khuf atau stoking?

Jawapan:
1. Tempoh menyapu tamat. Tidak dibenarkan menyapu di atas khuf atau stoking selepas tamat tempoh yang ditetapkan, iaitu sehari semalam bagi yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi musafir.
2. Menanggalkan khuf atau stoking. Jika seseorang menanggalkan salah satu atau kedua-dua khuf atau stoking selepas menyapu, maka terbatallah sapuan tersebut.

Soalan 17: Apakah makna solat?

Jawapan: Solat ialah ibadah kepada Allah dengan ucapan dan perbuatan yang tertentu, dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

Soalan 18: Apakah hukum solat?

Jawapan: Solat ialah kewajipan ke atas setiap Muslim.
Firman Allah SWT:
"Sungguh! Solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." (Surah al-Nisa': 103)

Soalan 19: Apakah hukum meninggalkan solat?

Jawapan: Meninggalkan solat adalah kekufuran. Nabi SAW bersabda: "Batas janji antara kita dan mereka (orang kafir) ialah solat. Maka sesiapa yang meninggalkan solat, dia telah kafir." Riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan lain-lain.

Soalan 20: Berapakah solat yang diwajibkan ke atas seorang Muslim dalam sehari semalam? Berapakah jumlah rakaatnya?

Jawapan: Lima solat yang diwajibkan dalam sehari semalam:
- Solat Subuh: 2 rakaat.
- Solat Zuhur: 4 rakaat.
- Solat Asar: 4 rakaat.
- Solat Maghrib: 3 rakaat.
- Solat Isyak: 4 rakaat.

Soalan 21: Apakah syarat-syarat sah solat?

Jawapan:

1. Islam: Maka tidak sah solat orang kafir, kerana amalannya terbatal disebabkan syirik.
Firman Allah SWT:
"Sekiranya engkau mempersekutukan Allah, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu." (Surah al-Zumar: 65)
2. Berakal. Maka tidak sah solat orang gila.
3. Mumayyiz. Maka tidak sah solat kanak-kanak kecil yang belum mumayyiz.
Nabi SAW bersabda:
"Pena catatan amal diangkat daripada tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang gila sehingga dia kembali berakal." Diriwayatkan dalam kitab-kitab sunan.
4. Niat.
Nabi SAW bersabda:
"Setiap amalan hanya diterima dengan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
5. Masuk waktu solat. Firman Allah SWT: "Sungguh! Solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." (Surah al-Nisa': 103)
6. Suci daripada sebarang hadas. Nabi SAW bersabda: "Allah tidak menerima mana-mana solat orang yang berhadas, sehinggalah dia berwuduk." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Suci daripada sebarang najis. Allah SWT berfirman: "Dan bersihkanlah pakaianmu!" (Surah al-Muddaththir: 4)
8. Menutup aurat. Allah SWT berfirman: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah setiap kali memasuki masjid." (Surah al-A'raf: 31)
9. Menghadap kiblat. Firman Allah SWT: "Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya." (Surah al-Baqarah: 144)

Soalan 22: Apakah rukun-rukun solat?

Jawapan: Rukun solat ialah 14 perkara yang wajib dilakukan. Jika salah satu daripadanya ditinggalkan, solat tidak sah. Rukun-rukun solat adalah:
- Berdiri tegak dalam solat fardu bagi yang mampu. Nabi SAW bersabda: "Solatlah dengan berdiri, jika tidak mampu, maka duduklah dan jika tidak mampu juga, solatlah dengan berbaring." Riwayat al-Bukhari.
- Takbiratul ihram, iaitu mengucapkan "Allahu Akbar". Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu hendak solat, maka bertakbirlah (dengan mengucapkan Allahu Akbar)." Riwayat al-Bukhari dan Muslim
- Membaca surah al-Fatihah dalam setiap rakaat. Nabi SAW bersabda: "Tidak sah solat seseorang yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah)." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
- Rukuk, dan dia meratakan belakangnya setentang dengan kepalanya.
Bangkit daripada rukuk.
- Iktidal dalam keadaan berdiri. Nabi SAW bersabda: "Kemudian rukuklah sehingga kamu tenang dalam keadaan tersebut. Kemudian bangkitlah sehingga tubuhmu tegak berdiri." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
- Sujud, dengan menancapkan dahinya, hidungnya, tapak tangannya, lututnya dan hujung jari-jemari kakinya di atas tempat sujud.
- Bangkit daripada sujud.
- Duduk antara dua sujud. Nabi SAW bersabda: "Kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam posisi sujud. Kemudian bangkitlah, sehingga kamu tenang dalam posisi duduk." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Tatacara duduk sunnah:
Iftirasy, dengan duduk di atas kaki kiri yang dibantalkan bawah punggung, sementara kaki kanan dilipat ke belakang dengan hujung jari-jemarinya dilipat ke arah kiblat. 'Aisyah RAH meriwayatkan: "Nabi SAW biasa membantalkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya." Riwayat Muslim.
- Tumakninah, iaitu tenang dalam setiap perbuatan rukun.
- Tahiyat akhir. Ibn Mas'ud RA berkata: "Dahulu kami membaca dalam solat... sebelum diwajibkan tahiyat." Riwayat al-Nasa'i.
- Duduk tahiyat akhir.
- Memberi salam dua kali, iaitu dengan menyebut: "Assalamualaikum warahmatullah." Dalam hadis: Nabi SAW biasa memberi salam ke arah kanan, "Assalamualaikum warahmatullah," dan ke arah kiri, "Assalamualaikum warahmatullah." Riwayat al-Tirmidhi dan lain-lain.
- Tertib setiap rukun dengan aturan yang kita sebutkan. Jika dia melanggar tertib, seperti sujud sebelum rukuk dengan sengaja, batal solatnya. Jika kerana tersilap, hendaklah dia kembali ke posisi rukuk semula.

Soalan 23: Apakah perbuatan wajib dalam solat?

Jawapan: Terdapat 8 perkara wajib dalam solat, iaitu:
1. Takbir-takbir selain Takbiratul Ihram.
2. Ucapan: "Allah menyahut setiap yang memuji-Nya," bagi imam dan orang yang solat sendirian.
3. Ucapan: "Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala puji."
4. Ucapan: "Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung." Sekali ketika rukuk.
5. Ucapan: "Maha Suci Tuhanku yang Maha Tertinggi." Sekali ketika sujud.
6. Ucapan: "Wahai Tuhanku, ampuni aku." Ketika duduk antara dua sujud.
7. Bacaan tahiyat awal.
8. Duduk tahiyat awal.

Soalan 24: Apakah sunat-sunat solat?

Jawapan: Terdapat sebelas sunat, seperti berikut:
1. Membaca selepas takbiratul ihram: "Maha suci-Mu, wahai Allah, dengan memuji-Mu, maha berkat nama-Mu, maha tinggi kemuliaan-Mu, tiada yang berhak disembah selain-Mu." Ini dipanggil doa iftitah.
2. Membaca isti'azah.
3. Membaca bismillah.
4. Menyebut Amin seusai bacaan al-Fatihah.
5. Membaca surah lain selepas al-Fatihah.
6. Menyaringkan suara bagi imam.
7. Membaca selepas pujian iktidal: "Pujian sepenuh langit dan bumi, dan sepenuh apa-apa yang Kau inginkan."
8. Mengulang tasbih dalam rukuk lebih daripada sekali, iaitu tasbih kedua, ketiga dan seterusnya.
9. Mengulang tasbih dalam sujud lebih daripada sekali.
10. Mengulang ucapan "Rabbighfirli" antara dua sujud lebih daripada sekali.
11. Membaca selawat kepada Nabi SAW dalam tasyahhud akhir, serta mendoakan keberkatan ke atas baginda dan keluarganya, serta membaca doa selepasnya.
Sunat dalam perbuatan, juga disebut sunat hay'ah dalam solat, adalah:
1. Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram.
2. Mengangkat tangan ketika rukuk.
3. Mengangkat tangan ketika iktidal.
4. Meletakkan tangan ke bawah selepas itu.
5. Meletakkan tangan kiri di atas tangan kanan ketika berdiri.
6. Memandang ke tempat sujud.
7. Menjarakkan antara kakinya ketika berdiri.
8. Memegang lutut dengan tangan dengan jari-jari direnggangkan ketika rukuk, serta meluruskan belakang dan memastikan kepala sejajar dengannya.
9. Menekan anggota sujud ke lantai dan memastikan anggota sujud menyentuh tempat sujud.
10. Merenggangkan lengan daripada sisi badan dan perut daripada paha semasa sujud, serta memisahkan peha daripada betis, merenggangkan lutut, meluruskan kaki dan meletakkan jari-jari kaki dengan rapat ke tanah. Kedua-dua tangan hendaklah diletakkan selari dengan bahu dengan jari-jari diluruskan.
11. Duduk iftirash (duduk dengan kaki kiri dilipat dan kaki kanan ditegakkan) di antara dua sujud dan dalam tasyahhud awal, serta duduk tawaruk (duduk dengan kaki kiri dilipat di bawah kaki kanan) dalam tasyahhud akhir.
12. Meletakkan tangan di atas peha dengan jari-jari dirapatkan semasa duduk di antara dua sujud dan ketika tasyahhud, kecuali dalam tasyahhud, jari manis dan kelingking di tangan kanan digenggam, ibu jari dan jari tengah dibulatkan dan jari telunjuk ditunjukkan ketika menyebut nama Allah.
13. Menoleh ke kanan dan kiri semasa memberi salam.

Soalan 25: Apakah perkara yang membatalkan solat?

Jawapan:
1. Meninggalkan walaupun satu rukun atau satu syarat solat.
2. Bercakap dengan sengaja.
3. Makan dan minum.
4. Bergerak banyak secara berturut-turut.
5. Sengaja meninggalkan perbuatan wajib dalam solat.

Soalan 26: Bagaimanakah seorang Muslim mendirikan solat?

Jawapan: Tatacara mendirikan solat adalah seperti berikut:
1. Menghadap kiblat dengan seluruh badan tanpa menyimpang atau berpaling.
2. Berniat solat yang ingin didirikan dalam hati tanpa melafazkannya.
3. Bertakbir dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan mengangkat kedua-dua tangan setentang dengan bahu ketika bertakbir.
4. Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas dada.
5. Membaca doa iftitah, contohnya: "Ya Allah, jauhkanlah di antara aku dan kesalahanku sebagaimana Engkau menjauhkan di antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah aku daripada kesalahanku sebagaimana pakaian putih dibersihkan daripada kotoran. Ya Allah, basuhlah aku daripada kesalahanku dengan air, salji dan air batu."
Atau membaca:
"Maha suci-Mu, wahai Allah, dengan memuji-Mu, maha berkat nama-Mu, maha tinggi kemuliaan-Mu, tiada yang berhak disembah selain-Mu."
6. Membaca isti'azah, iaitu bacaan: "A'udhu billah mina sy-syaitanir-rajim." (Saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terlaknat)
7. Kemudian membaca basmalah dan al-Fatihah: Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang pengasih, lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya kepada-Mu kami menyembah, hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan. Bimbinglah kami di atas jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat, bukan jalan orang-orang dimurkai atau orang-orang sesat. (Surah al-Fatihah: 1-7)
Kemudian, mengucapkan "Amin", yang bermaksud "Ya Allah, kabulkanlah."
8. Kemudian dia membaca apa-apa surah yang mudah dari al-Quran, dengan memanjangkan bacaan dalam solat Subuh.
9. Kemudian dia rukuk dengan membongkokkan badan sebagai tanda penghormatan kepada Allah dan mengucapkan takbir ketika rukuk. Mengangkat tangan setentang bahu ketika bertakbir. Sunah untuk meluruskan belakang dan memastikan kepala sejajar dengan belakang, serta meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut dengan jari-jari direnggangkan.
10. Dalam rukuk, mengucapkan: "Subhana rabbiyal 'azim" sebanyak tiga kali. Jika menambah: "Subhanakallahumma wa bihamdika, allahumma-ghfirli", maka itu lebih baik.
11. Bangkit daripada rukuk sambil mengucapkan: "Sami'allahu liman hamidah" dan mengangkat tangan setentang bahu. Makmum tidak perlu mengucapkan "Sami'allahu liman hamidah" tetapi sebaliknya mengucapkan: "Rabbana wa lakal hamd."
12. Selepas bangkit, mengucapkan: "Rabbana wa lakal hamd, mil'us samawati wa mil'ul ard wa mil'u ma shi'ta min shay'in ba'd."
"Ya Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa sahaja yang Engkau kehendaki setelah itu."
13. Kemudian dia sujud pertama dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan bersujud menggunakan tujuh anggota: dahi dan hidung, kedua-dua tangan, kedua-dua lutut, dan hujung kaki. Dia merenggangkan lengan daripada sisi badan dan tidak membaringkan lengan lantai serta memastikan jari-jari kaki menghadap kiblat.
14. Dalam sujud, dia mengucapkan: "Subhana rabbiyal a'la" tiga kali. Jika menambah: "Subhanakallahumma rabbana wa bihamdika, allahumma-ghfirli", itu lebih baik.
15. Kemudian dia bangkit dari sujud dengan mengucapkan "Allahu Akbar."
16. Kemudian dia duduk di antara dua sujud di atas kaki kiri yang dilipat dan menegakkan kaki kanan serta meletakkan tangan di atas peaha dan lutut.
17. Dalam duduk antara dua sujud, dia mengucapkan: "Rabbighfirli, warhamni, wahdini, warzuqni, wajburni, wa'afini."
"Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, berilah aku petunjuk, berikanlah rezeki kepadaku, perbaikilah keadaanku dan berikanlah aku kesihatan."
18. Kemudian dia sujud kali kedua sama seperti sujud pertama, dengan ucapan dan perbuatan yang sama. Mengucapkan "Allahu Akbar" ketika turun untuk sujud.
19. Kemudian dia bangkit dari sujud kedua dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan melakukan rakaat kedua sama seperti rakaat pertama, kecuali tanpa membaca doa iftitah.
20. Kemudian dia duduk selepas tamat rakaat kedua dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan duduk seperti duduk antara dua sujud.
21. Dia membaca tasyahhud dalam duduk ini: "Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan hanya untuk Allah. Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dan rahmat Allah serta keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Ya Allah, berikanlah selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau berselawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."
Kemudian membaca:
"Aku berlindung dengan Allah daripada azab neraka Jahannam, azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah Dajjal." Kemudian dia berdoa apa sahaja yang disukai daripada kebaikan dunia dan akhirat.
22. Kemudian dia memberi salam ke kanan dengan mengucapkan: "Assalamu 'alaikum wa rahmatullah", dan ke kiri dengan ucapan yang sama.
23. Jika solat itu tiga rakaat (seperti Maghrib) atau empat rakaat (seperti Zohor, Asar, dan Isyak), dia berhenti pada akhir tasyahhud pertama dengan mengucapkan: "Ashhadu alla ilaha illallah wa ashhadu anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluh."
24. Lalu dia berdiri untuk rakaat seterusnya dengan mengucapkan "Allahu Akbar" dan mengangkat tangan setentang bahu.
25. Kemudian dia meneruskan solat dengan cara yang sama seperti rakaat kedua, kecuali hanya membaca surah al-Fatihah tanpa surah tambahan.
26. Kemudian dia duduk tawaruk (duduk dengan kaki kiri dilipat di bawah kaki kanan) di akhir solat, menegakkan kaki kanan dan meletakkan kedua-dua tangan di atas peha seperti dalam tasyahhud pertama.
27. Dia membaca keseluruhan tasyahud ketika duduk ini.
28. Kemudian dia memberi salam ke kanan dan kiri seperti yang dilakukan sebelumnya.

Soalan 27: Apakah zikir yang dibaca selepas memberi salam dalam solat?

Jawapan:

Membaca "Astaghfirullah" sebanyak tiga kali.
Membaca:

"Allahumma antas-salam, wa minkas-salam, tabarakta ya dhal-jalali wal-ikram."
(Ya Allah, Engkaulah yang Maha Sejahtera, daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan. Maha Suci Engkau, wahai Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Agung).
Membaca:

"La ilaha illallah wahdahu la sharika lah, lahul mulk wa lahul hamd, wa huwa 'ala kulli shay'in qadir. Allahumma la mani'a lima a'tayta, wa la mu'tiya lima mana'ta, wa la yanfa'u dhal-jaddi minkal-jadd."
(Tiada tuhan selain Allah, yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nyalah kerajaan dan segala puji, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halangi, dan kekayaan seseorang tidak memberi manfaat sedikit pun di hadapan kekayaan-Mu).
Membaca:

"La ilaha illallah wahdahu la sharika lah, lahul mulk wa lahul hamd, wa huwa 'ala kulli shay'in qadir, la hawla wa la quwwata illa billah, la ilaha illallah, wa la na'budu illa iyyah, lahun-ni'mah wa lahul-fadl wa lahuth-thana'ul hasan, la ilaha illallah mukhlisina lahud-din walau karihal kafirun."
(Tiada tuhan selain Allah, yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nyalah kerajaan dan segala puji, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Tiada tuhan selain Allah dan kami tidak menyembah melainkan Dia. Milik-Nya segala nikmat, kelebihan dan pujian yang baik. Tiada tuhan selain Allah, kami ikhlas beribadah kepada-Nya walaupun orang-orang kafir membencinya).
Membaca "Subhanallah" sebanyak 33 kali,
"Alhamdulillah" sebanyak 33 kali,
dan "Allahu Akbar" sebanyak 33 kali.
Kemudian dia menyempurnakan 100 dengan membaca:
"La ilaha illallah wahdahu la sharika lah, lahul mulk wa lahul hamd, wa huwa 'ala kulli shay'in qadir."
(Tiada tuhan selain Allah, yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nyalah kerajaan dan segala puji dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).
Membaca surah al-Ikhlas dan al-Mu'awwidhat (surah al-Falaq dan surah al-Nas) tiga kali selepas solat Subuh dan Maghrib, manakala selepas solat-solat lain sebanyak sekali.
Membaca Ayat al-Kursi sekali.

Soalan 28: Apakah solat sunat rawatib? Dan apakah kelebihannya?

Jawapan:

Dua rakaat sebelum solat Subuh.
Empat rakaat sebelum solat Zohor.
Dua rakaat selepas solat Zohor.
Dua rakaat selepas solat Maghrib.
Dua rakaat selepas solat Isyak.
Kelebihan:
Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan dua belas rakaat (solat sunat) dalam sehari semalam, Allah akan membina buatnya sebuah rumah di syurga." Riwayat Muslim, Ahmad dan selainnya.

Soalan 29: Apakah hari terbaik dalam seminggu?

Jawapan: Hari terbaik dalam seminggu ialah hari Jumaat. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya hari yang terbaik antara hari-hari kamu ialah hari Jumaat. Pada hari itu, Adam diciptakan, pada hari itu dia diwafatkan, pada hari itu sangkakala akan ditiup, dan pada hari itu pula kebangkitan akan berlaku. Oleh itu, perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu, kerana selawatmu akan diperlihatkan kepadaku." Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami akan diperlihatkan kepadamu sedangkan jasadmu telah hancur?" Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah mengharamkan bumi daripada memakan jasad para nabi." Riwayat Abu Dawud dan selainnya.

Soalan 30: Apakah hukum solat Jumaat?

Jawapan: Solat Jumaat adalah fardu ain ke atas setiap Muslim lelaki yang baligh, berakal dan bermukim.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah al-Jumu'ah: 9)

Soalan 31: Berapakah bilangan rakaat solat Jumaat?

Jawapan: Bilangan rakaat solat Jumaat adalah dua rakaat, di mana imam membaca secara kuat, dan didahului oleh dua khutbah seperti mana yang sudah diketahui.

Soalan 32: Adakah dibenarkan meninggalkan solat Jumaat?

Jawapan: Tidak dibenarkan meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan yang dibenarkan syarak. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat Jumaat kerana mengambil remeh, Allah akan mengunci hatinya." Riwayat Abu Dawud dan selainnya.

Soalan 33: Sebutkan sunat-sunat hari Jumaat.

Jawapan:
1. Mandi Jumaat. Nabi SAW bersabda: "Mandi hari Jumaat sangat digalakkan bagi setiap lelaki baligh." Riwayat al-Bukhari.
2. Mengenakan minyak wangi. Nabi SAW bersabda: "Wajarlah bagi orang-orang Islam untuk mandi pada hari Jumaat, dan hendaklah dia mengenakan wangian, meskipun wangian isterinya." Riwayat Ahmad dan al-Tirmidhi.
3. Mengenakan pakaian terbaik. Sunah ini berdasarkan hadis: "Tidak mengapa bagi salah seorang daripada kamu jika dia memiliki keluasan rezeki untuk mempunyai dua pakaian khusus untuk solat Jumaat selain daripada pakaian kerja." Riwayat Ibn Majah dan Malik dalam al-Muwatta'.
4. Bersegera pergi ke masjid.
5. Berjalan kaki ke masjid. Ini berdasarkan hadis: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian dia bersegera pergi (ke masjid), mendekati imam, mendengar dan diam, dia akan mendapat pahala setiap langkah yang diambilnya sama seperti setahun berpuasa dan berqiyam." Riwayat al-Tirmidhi dan al-Nasa'i
6. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi ﷺ. Nabi ﷺ bersabda: "Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana ia disaksikan oleh para malaikat. Sesiapa yang berselawat ke atasku, solatnya akan ditunjukkan kepadaku sehingga dia selesai." Riwayat Ibn Majah.
7. Membaca surah al-Kahfi. Dalam hadis: "Sesiapa yang membaca Surah al-Kahf pada hari Jumaat, akan diterangi dengan cahaya di antara dua Jumaat." Riwayat al-Hakim dan lain-lain.
8. Mencari waktu mustajab doa. Berdasarkan hadith daripada Abu Hurayrah RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu yang tidak serentak dengan seorang Muslim yang sedang berdiri solat, lalu dia berdoa kepada Allah, melainkan Allah akan memberinya apa yang dia minta." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 34: Apakah kelebihan solat berjemaah?

Jawapan:
Berdasarkan hadis daripada Abdullah bin 'Umar RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Solat berjemaah lebih utama daripada solat seorang diri sebanyak dua puluh tujuh darjat." Hadis riwayat Muslim.

Soalan 35: Apakah maksud khusyuk dalam solat?

Jawapan:
Khusyuk dalam solat bermaksud kehadiran hati dan ketenangan anggota badan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka." (Surah al-Mu'minun, 1-2)

Soalan 36: Apakah itu zakat?

Jawapan:
Zakat ialah hak yang wajib diambil daripada bahagian harta tertentu untuk diberikan kepada golongan tertentu, pada waktu tertentu.
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam dan ia adalah sedekah yang wajib diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin.
Allah SWT berfirman:
"Dan bayarlah zakat." (Surah al-Baqarah: 43)

Soalan 37: Apakah sedekah yang sunat?

Jawapan:
Sedekah yang sunat ialah sedekah yang bukan zakat, seperti bersedekah dengan apa sahaja kepada perkara kebaikan pada bila-bila masa.
Allah SWT berfirman:
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah." (Surah al-Baqarah: 195)

Soalan 38: Apakah definisi puasa?

Jawapan:
Puasa adalah beribadah kepada Allah dengan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan niat.
Terdapat dua jenis puasa:

1. Puasa wajib: Seperti puasa bulan Ramadan, yang merupakan salah satu daripada rukun Islam.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah: 183)
2. Puasa yang tidak wajib: Seperti puasa Isnin dan Khamis setiap minggu dan puasa tiga hari setiap bulan, yang paling afdal pada hari-hari putih (13, 14, 15) dalam setiap bulan qamari.

Soalan 39: Apakah kelebihan puasa pada bulan Ramadan?

Jawapan:
Berdasarkan hadith daripada Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka diampuni dosanya yang telah lalu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 40: Apakah kelebihan puasa sunat?

Jawapan:
Berdasarkan hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Tiada seorang hamba pun yang berpuasa sehari di jalan Allah, melainkan Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Maksud "tujuh puluh musim luruh" ialah tujuh puluh tahun.

Soalan 41: Apakah perkara yang membatalkan puasa?

Jawapan:
1. Makan minum dengan sengaja.
2. Muntah dengan sengaja.

Soalan 42: Apakah amalan sunat ketika berpuasa?

Jawapan:
1. Menyegerakan berbuka.
2. Melewatkan sahur.
3. Memperbanyakkan amal ibadah.
4. Jika dikutuk, dijawab: "Saya berpuasa."
5. Berdoa sebelum berbuka puasa.
6. Berbuka puasa dengan kurma. Jika tiada, dengan air.

Soalan 43: Apakah itu haji?

Jawapan: Haji adalah ibadah kepada Allah Taala dengan menziarahi rumah-Nya yang suci untuk melakukan amalan-amalan tertentu pada waktu tertentu.
Allah SWT berfirman:
"Dan untuk Allah, wajib ke atas manusia mengerjakan haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu menempuh perjalanan ke sana. Sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian alam." (Surah Ali `Imran: 97)

Soalan 44: Apakah rukun-rukun haji?

Jawapan:
1. Ihram.
2. Wukuf di Arafah.
3. Tawaf Ifadah.
4. Sa'i di antara Safa dan Marwah.

Soalan 45: Apakah kelebihan haji?

Jawapan:
Berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan haji kerana Allah dan tidak berkata buruk, dan tidak melakukan maksiat, maka dia kembali seperti hari dilahirkan oleh ibunya." Riwayat al-Bukhari dan lain-lain.
Maksud "seperti hari dilahirkan oleh ibunya" adalah tanpa dosa.

Soalan 46: Apakah itu umrah?

Jawapan:
Umrah adalah ibadah kepada Allah Taala dengan menziarahi rumah-Nya yang suci untuk melakukan amalan-amalan tertentu pada bila-bila masa.

Soalan 47: Apakah rukun-rukun umrah?

Jawapan:
1. Ihram.
2. Tawaf sekeliling Kaabah.
3. Sa'i di antara Safa dan Marwah.

Soalan 48: Apakah itu jihad di jalan Allah?

Jawapan:
Jihad adalah usaha bersungguh-sungguh dalam menyebarkan Islam dan mempertahankannya serta mempertahankan kaum Muslimin, atau memerangi musuh Islam dan orang Islam.
Allah SWT berfirman:
"Dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu di jalan Allah. Itulah yang terbaik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah al-Tawbah: 41)
**********

Soalan 16: Apakah kelebihan solat?

Jawapan: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apakah kamu semua pernah melihat jika ada sungai di pintu rumah seseorang di antara kamu, lalu dia mandi di dalamnya lima kali sehari, adakah masih tertinggal kotoran pada dirinya?" Para sahabat menjawab: "Tidak, tidak tertinggal sedikit pun kotoran." Rasulullah SAW bersabda: "Begitulah perumpamaan solat lima waktu, Allah menghapuskan dosa-dosa dengan solat tersebut." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Perkataan al-Daran bermaksud kotoran.

Bahagian Sirah Nabi SAW32

Soalan 1: Apakah nasab Nabi kita Muhammad SAW?

Jawapan: Baginda adalah Muhammad bin 'Abdullah bin 'Abdul Muttalib bin Hasyim.
Hasyim berasal daripada suku Quraisy, Quraisy daripada bangsa Arab, dan Arab adalah keturunan Nabi Ismail, anak Nabi Ibrahim.
Semoga selawat dan salam terbaik dilimpahkan kepada mereka berdua dan kepada Nabi kita.

Soalan 2: Siapakah nama ibu Nabi kita Muhammad SAW?

Jawapan: Ibu Nabi ialah Aminah binti Wahb.

Soalan 3: Bilakah ayahnya meninggal dunia?

Jawapan: Ayah baginda meninggal di kota Madinah semasa Nabi masih dalam kandungan ibunya, sebelum Nabi dilahirkan.

Soalan 4: Bilakah Nabi Muhammad SAW dilahirkan?

Jawapan: Nabi dilahirkan pada Tahun Gajah, pada hari Isnin, bulan Rabiul Awwal.

Soalan 5: Di mana Nabi dilahirkan?

Jawapan: Nabi dilahirkan di Makkah.

Soalan 6: Siapakah yang menyusui dan menjaga Nabi selain ibunya?

Jawapan:
Hamba ayahnya, Ummu Ayman.
Hamba bapa saudaranya, Abu Lahab, iaitu Thuwaybah.
Halimah al-Sa’diyyah.

Soalan 7: Bilakah ibunya meninggal dunia?

Jawapan: Ibu baginda meninggal ketika Nabi berumur enam tahun, dan baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib.

Soalan 8: Siapakah yang menjaga Nabi selepas kematian datuknya Abdul Muttalib?

Jawapan: Datuknya meninggal ketika Nabi berusia lapan tahun, dan bapa saudaranya, Abu Talib, menjaga baginda.

Soalan 9: Bilakah Nabi melakukan perjalanan ke Syam bersama bapa saudaranya?

Jawapan: Nabi melakukan perjalanan bersama bapa saudaranya ke Syam ketika berusia dua belas tahun.

Soalan 10: Bilakah perjalanan kedua Nabi ke Syam?

Jawapan: Perjalanan kedua adalah untuk berniaga menggunakan harta Khadijah RA. Setelah kembali, Nabi berkahwin dengan Khadijah ketika berusia 25 tahun.

Soalan 11: Bilakah Quraisy membina semula Kaabah?

Jawapan: Quraisy membina semula Kaabah ketika Nabi berusia 35 tahun.
Mereka memilih Nabi sebagai orang yang akan meletakkan Hajar Aswad di tempatnya, dan Nabi menyuruh setiap suku memegang bahagian kain untuk mengangkatnya ke tempat yang sepatutnya.

Soalan 12: Berapa umur Nabi ketika diutus menjadi rasul? Kepada siapakah Nabi diutus?

Jawapan: Nabi diutus sebagai rasul ketika berusia 40 tahun, diutus kepada seluruh manusia sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan.

Soalan 13: Apakah wahyu pertama yang baginda terima?

Jawapan: Mimpi yang benar. Setiap mimpi baginda menjadi kenyataan sejelas fajar pagi.

Soalan 14: Bagaimanakah keadaan Nabi sebelum wahyu? Dan bilakah wahyu pertama kali turun kepada Nabi?

Jawapan: Nabi gemar menyendiri beribadah kepada Allah di gua Hira dan membawa bekalannya untuk itu.
dan wahyu turun ketika Nabi sedang beribadah di sana.

Soalan 15: Apakah ayat al-Quran pertama yang turun?

Jawapan: Firman Allah SWT: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, yang mengajar dengan pena. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-`Alaq: 1-5)

Soalan 16: Siapakah orang pertama yang beriman kepada risalah Nabi?

Jawapan:
Dalam kalangan lelaki dewasa: Abu Bakar al-Siddiq
Dalam kalangan wanita:
Khadijah binti Khuwaylid.
Dalam kalangan kanak-kanak: 'Ali bin Abu Talib.
Dalam kalangan bekas hamba:
Zayd bin Harithah.
Dalam kalangan hamba abdi:
Bilal Orang Habshah.

Semoga Allah meredai mereka.

Soalan 17: Bagaimana dakwah kepada Islam dijalankan?

Jawapan: Dakwah dijalankan secara rahsia selama lebih kurang tiga tahun, kemudian Nabi diperintahkan untuk menyampaikan dakwah secara terang-terangan.

Soalan 18: Bagaimanakah keadaan Nabi SAW dan para sahabat setelah dakwah secara terang-terangan?

Jawapan: Orang musyrik semakin giat menyakiti Nabi dan para sahabat, sehingga orang-orang beriman diberi izin untuk berhijrah ke Habsyah di bawah perlindungan Raja Najasyi.
Orang Musyrikin telah berpakat untuk menyakiti dan membunuh Nabi SAW, tetapi Allah menjaga dan membela baginda melalui Abu Talib, bapa saudaranya.

Soalan 19: Siapakah yang meninggal dunia pada tahun kesepuluh kerasulan Nabi SAW?

Jawapan: Bapa saudara Nabi, Abu Talib, dan isteri baginda, Khadijah RA, wafat setelah 10 tahun baginda dilantik menjadi rasul.

Soalan 20: Bilakah peristiwa Israk dan Mikraj berlaku?

Jawapan: Peristiwa tersebut berlaku ketika baginda berusia 50 tahun, dan difardukan solat 5 waktu kepada baginda sejak dari itu.
Israk:
Perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.
Mikraj:
Perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsa ke langit, sehingga ke Sidratul Muntaha.

Soalan 21: Bagaimanakah Nabi berdakwah di luar kota Mekah?

Jawapan: Nabi pergi ke Thaif dan memperkenalkan diri di kalangan kaum ketika musim haji dan majlis umum, sehingga penduduk Madinah dalam kalangan Ansar beriman kepada baginda dan berjanji akan menolong baginda.

Soalan 22: Berapa lama Nabi berdakwah di Mekah?

Jawapan: Selama 13 tahun.

Soalan 23: Ke manakah Nabi berhijrah?

Jawapan: Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah.

Soalan 24: Berapa lama Nabi tinggal di Madinah?

Jawapan: Selama 10 tahun.

Soalan 25: Apakah syariat yang difardukan kepada Nabi di Madinah?

Jawapan: Zakat, puasa, haji, jihad, azan, dan lain-lain dari syariat Islam.

Soalan 26: Apakah peperangan yang paling penting yang disertai oleh Nabi?

Jawapan:
- Perang Badar Kubra, tahun ke-2 Hijrah.
- Perang Uhud, tahun ke-3 Hijrah.
- Perang Ahzab, tahun ke-5 Hijrah.
- Pembebasan Mekah, tahun ke-8 Hijrah.

Soalan 27: Apakah ayat al-Quran terakhir yang diturunkan?

Jawapan: Firman Allah SWT: “Dan takutlah kepada hari di mana kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap jiwa akan dibalas apa yang dilakukannya, dan mereka tidak akan dianiaya.” (Surah al-Baqarah: 281)

Soalan 28: Bilakan Nabi SAW wafat? Pada usia berapa?

Jawapan: Nabi SAW wafat pada bulan Rabiul Awwal tahun ke-11 Hijrah, pada usia 63 tahun.

Soalan 29: Sebutkan isteri-isteri Nabi SAW.

Jawapan:
1. Khadijah binti Khuwaylid RA.
2. Sawdah bin Zam`ah RA.
3. Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq RA.
4. Hafsah binti `Umar RA.
5. Zaynab binti Khuzaymah RA.
6. Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayyah RA.
7. Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan RA.
8. Juwayriyah binti al-Harith RA.
9. Maymunah binti al-Harith RA.
10. Safiyyah binti Huyay RA.
11. Zaynab binti Jahsy RA.

Soalan 30: Siapakah anak-anak baginda SAW?

Jawapan:
Anak-anak lelaki ada tiga:
- al-Qasim,
- Abdullah,
- Ibrahim.
Anak-anak perempuan:
- Fatimah,
- Ruqayyah,
- Ummu Kulthum,
- Zaynab.
Semua zuriat baginda dilahirkan Khadijah RA, kecuali Ibrahim, beliau dilahirkan oleh Mariyah al-Qibtiyyah. Semua zuriat baginda wafat semasa baginda masih hidup, kecuali Fatimah wafat 6 bulan selepas kewafatan baginda.

Soalan 31: Sebutkan sebahagian ciri-ciri para Nabi SAW.

Jawapan: Nabi SAW adalah seorang yang tidak terlalu pendek atau tinggi, berkulit putih kemerahan, berjanggut lebat, mata besar, mulut lebar, rambut hitam lebat, bahu yang lebar, dan berbau harum.

Soalan 32: Apakah yang Nabi SAW wariskan kepada umat baginda?

Jawapan: Baginda mewariskan jalan yang terang benderang, malamnya sejelas siangnya. Sesiapa meninggalkan jalan ini, dia binasa. Setiap perkara baik telah baginda ajarkan kepada umat, setiap perkara buruk telah baginda peringatkan kepada umat.
********
Peringatan:
Bahagian ini bertujuan mendidik anak-anak untuk menghafal ayat-ayat dan memahami maknanya.

Bahagian Tafsir17

Soalan 1: Bacakan Surah Al-Fatihah dan tafsirkan.

Jawapan: Surah Al-Fatihah dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Mengasihani. 🎧 Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. 🎧 Yang Maha Pengasih, lagi Maha Menyayangi. 🎧 Yang menguasai hari pembalasan. 🎧 Hanya kepada-Mu kami menyembah, hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan. 🎧 Bimbinglah kami di atas jalan yang lurus. 🎧 Iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat, bukan jalan orang-orang dimurkai, atau orang-orang sesat. (Surah al-Fatihah: 1-7)
Tafsirannya:
Surah ini dinamakan al-Fatihah yang bermaksud pembuka, kerana al-Quran dibuka atau dimulakan dengan surah ini.
"Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang." Tafsiran: Aku memulakan bacaan Al-Quran ini dengan menyebut nama Allah, sambil memohon bantuan dan keberkatan daripada-Nya.
Allah ertinya:
Yang berhak disembah. Nama ini tidak boleh diberikan kepada selain Allah SWT.
al-Rahman (Maha Pengasih) ertinya: Yang memiliki sifat rahmat yang merangkumi segala sesuatu.
al-Rahim (Maha Menyayangi) ertinya: Yang mengasihi orang-orang beriman secara khusus.
"Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam." Tafsiran: Segala bentuk pujian, sanjungan dan kesempurnaan hanya milik Allah, Tuhan yang memelihara dan mengatur alam semesta.
"Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang" ertinya Yang memiliki rahmat umum kepada seluruh alam, dan rahmat khusus buat orang-orang beriman.
"Yang Menguasai Hari Pembalasan." Iaitu hari Kiamat.
"Hanya kepada-Mu kami menyembah, dan hanya kepada-Mu kami mohon pertolongan." Tafsiran: Kami hanya menyembah-Mu dan hanya kepada-Mu kami meminta bantuan dalam semua urusan. Kami tidak menyembah dan meminta bantuan kepada selain-Mu.
Bimbinglah kami di atas jalan yang lurus. Iaitu bimbingan untuk mengenal dan kekal atas jalan Islam dan Sunnah.
Iaitu jalan orang-orang yang Kau kurniakan nikmat, bukan jalan orang-orang dimurkai, atau orang-orang sesat. Ertinya jalan para hamba Allah yang soleh daripada kalangan nabi dan para pengikut mereka. Bukan jalan Yahudi dan Nasrani.
Disunatkan untuk menyebut "Amin" selepas surah al-Fatihah. Ia bermaksud: "Terimalah doa kami."

Soalan 2: Bacakan Surah Al-Zalzalah dan tafsirkan.

Jawapan: Surah Al-Zalzalah dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Mengasihani.
🎧 Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. 🎧 Dan bumi mengeluarkan beban-beban berat yang ada di dalamnya. 🎧 Dan manusia berkata: 'Apa yang terjadi padanya?' 🎧 Pada hari itu, bumi akan menyampaikan beritanya. 🎧 Kerana Tuhanmu telah memerintahkan kepadanya. 🎧 Pada hari itu manusia akan keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok untuk diperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka. 🎧 Sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihat (balasan)nya. 🎧 Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, dia akan melihat (balasan)nya. (Surah al-Zalzalah: 1-8)
Tafsirannya:
1. Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang amat kuat pada hari kiamat.
2. Dan bumi mengeluarkan beban-beban berat yang ada di dalamnya. Bumi akan mengeluarkan apa yang ada di dalamnya, termasuk mayat-mayat yang telah mati dan benda-benda yang lain.
3. Dan manusia berkata: 'Apa yang terjadi padanya?' Manusia yang kebingungan bertanya: "Apa yang sedang berlaku pada bumi ini?"
4. Pada hari itu, bumi akan menyampaikan beritanya. Pada hari itu, bumi akan menceritakan semua peristiwa yang terjadi di atasnya, termasuklah segala amal perbuatan manusia.
5. Kerana Tuhanmu telah memerintahkan kepadanya. Bumi akan menceritakan semua peristiwa kerana Allah telah memerintahkan agar ia melakukannya.
7. Pada hari itu manusia akan keluar dari kuburnya dalam keadaan berkelompok-kelompok untuk diperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka. Pada hari kiamat, manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan dalam keadaan yang berbeza-beza, supaya amal perbuatan mereka diperlihatkan dan dihitung.
7. Sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan sebarang amalan baik, meskipun ia terlihat seperti semut kecil, dia akan melihat catatannya.
8. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, dia akan melihatnya. Begitu juga sesiapa yang melakukan sebarang amalan jahat, akan melihatnya tercatat di hadapannya.

Soalan 3: Bacakan Surah al-‘Adiyat dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-'Adiyat dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Mengasihani.
🎧 Demi kuda yang berlari kencang dengan terengah-engah. 🎧 Lalu kuda itu memercikkan bunga api (dengan pukulan kakinya) 🎧 Lalu menyerang dengan tiba-tiba pada waktu pagi. 🎧 Lalu membangkitkan debu. 🎧 Lalu tiba-tiba berada di tengah-tengah kumpulan musuh. 🎧 Sesungguhnya manusia sangat ingkar kepada Tuhannya. 🎧 Dan sesungguhnya dia sendiri menjadi saksi atas yang demikian itu. 🎧 Dan sesungguhnya dia sangat cinta kepada harta. 🎧 Maka apakah dia tidak mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan? 🎧 Dan apa yang tersimpan dalam dada dikeluarkan? 🎧 Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui tentang keadaan mereka pada hari itu. (Surah al-`Adiyat: 1-11)
Tafsirannya:
1. Demi kuda yang berlari kencang dengan terengah-engah. Allah bersumpah dengan kuda-kuda yang berlari kencang hingga keluar suara nafas mereka kerana kesungguhan berlari.
2. Lalu kuda itu memercikkan bunga api (dengan pukulan kakinya) Allah juga bersumpah dengan kuda-kuda yang mengeluarkan percikan api ketika kaki mereka memukul batu keras.
3. Lalu menyerang dengan tiba-tiba pada waktu pagi. Allah juga bersumpah dengan kuda-kuda yang menyerang musuh secara tiba-tiba pada waktu subuh.
4. Lalu membangkitkan debu. Kuda-kuda itu menyebabkan debu dan pasir berterbangan ketika mereka berlari laju.
5. Lalu tiba-tiba berada di tengah-tengah kumpulan musuh. Kuda-kuda ini masuk di tengah-tengah kumpulan musuh dengan penunggangnya untuk menggempur.
6. Sesungguhnya manusia sangat ingkar kepada Tuhannya. Manusia itu sungguh kedekut terhadap harta yang mereka mahu Allah berikan kepada mereka.
7. Dan sesungguhnya dia sendiri menjadi saksi atas yang demikian itu. Manusia menjadi saksi kepada kebakhilannya sendiri dengan tidak dapat menafikan perbuatannya.
8. Dan sesungguhnya dia sangat cinta kepada harta. Manusia amat tamak dan cintakan harta, sehingga mereka menjadi bakhil dan enggan membelanjakannya di jalan yang benar.
9. Maka apakah dia tidak mengetahui apabila apa yang di dalam kubur dikeluarkan? Adakah manusia yang tertipu dengan kehidupan dunia ini - apabila Allah membangkitkan orang yang telah mati dari kubur dan mengeluarkan mereka untuk dihisab dan diberi balasan - bahawa perkara itu tidak seperti yang mereka sangkakan?!
10. Dan apa yang tersimpan dalam dada dikeluarkan? Semua niat, keinginan dan rahsia yang tersembunyi di dalam dada akan diperlihatkan pada hari kiamat.
11. Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui tentang keadaan mereka pada hari itu. Pada hari kiamat, Allah mengetahui segala perbuatan dan niat mereka, dan Dia akan menghakimi mereka dengan adil.

Soalan 4: Bacakan Surah al-Qari'ah dan Tafsirannya

Jawapan: Surah al-Qari'ah dan Tafsirannya
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Mengasihani.
🎧 Hari Kiamat. 🎧 Apakah hari Kiamat itu? 🎧 Tahukah kamu apakah hari Kiamat itu? 🎧 Ia hari yang manusia menjadi seperti kelekatu yang bertebaran. 🎧 Gunung-ganang menjadi seperti bulu-bulu yang berhamburan. 🎧 Tentang orang yang berat timbangannya, 🎧 maka dia berada dalam kehidupan yang diredai. 🎧 Tentang orang yang ringan timbangannya, 🎧 maka tempat tujuannya adalah Hawiyah. 🎧 Tahukah kamu apakah ia? 🎧 Itulah api neraka yang sangat panas. (Surah al-Qari'ah: 1-11)
Tafsirannya:
1. Hari Kiamat. Hari kiamat yang akan menghancurkan hati manusia dengan kehebatan dan kegemparannya.
2. Apakah hari Kiamat itu? Tafsiran: Apakah hari kiamat yang begitu dahsyat sehingga mampu menghancurkan hati manusia itu?
3. Tahukah kamu apakah hari Kiamat itu? Tahukah kamu, wahai Rasul, apakah hari yang menghancurkan hati itu? Itulah hari Kiamat!
4. Ia hari yang manusia menjadi seperti kelekatu yang bertebaran. Pada hari kiamat, manusia akan berlarian tanpa tujuan seperti kelekatu yang bertebaran ke sana ke mari.
5. Gunung-ganang menjadi seperti bulu-bulu yang berhamburan. Pada hari itu, gunung-gunung akan menjadi seperti bulu bebiri yang dihamburkan dan berterbangan.
6. Tentang orang yang berat timbangannya, Iaitu berat timbangan amalan solehnya berbanding amalan jahatnya,
7. maka dia berada dalam kehidupan yang diredai. orang itu berada dalam kehidupan yang dia redai di syurga.
8. Tentang orang yang ringan timbangannya, iaitu orang yang amalan buruknya lebih berat daripada amalan solehnya,
9. maka tempat tujuannya adalah Hawiyah. maka tempat kesudahannya pada hari Kiamat adalah Jahanam.
10. Tahukah kamu apakah ia? Tahukah kamu, wahai Rasul, apakah Jahanam itu?
11. Itulah api neraka yang sangat panas. Ia adalah api yang sangat panas dan menyeksa penghuni neraka tanpa belas.

Soalan 5: Bacakan Surah al-Takathur dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Takathur dan Tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Mengasihani.
🎧 Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan bermegah-megah. 🎧 Sehingga kamu masuk ke dalam kubur. 🎧 Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya). 🎧 Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui. 🎧 Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, 🎧 nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. 🎧 Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri. 🎧 Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala kenikmatan (yang kamu peroleh di dunia). (Surah al-Takathur: 1-8)
Tafsirannya:
1. Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan bermegah-megah. Kamu disibukkan, wahai manusia, dengan bermegah-megah dan berlumba-lumba mengumpulkan harta dan anak-anak sehingga melupakan ketaatan kepada Allah.
2. Sehingga kamu masuk ke dalam kubur. Sehingga kamu meninggal dunia dan dikebumikan di dalam kuburmu.
3. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya). Tidak sewajarnya kamu disibukkan dengan itu semua. Kamu akan mengetahui akibat buruk daripada kelalaian itu.
4. Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui. Kemudian, sekali lagi, kamu akan mengetahui kesannya.
5. Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin, Jika kamu benar-benar mengetahui dengan yakin bahawa kamu akan dibangkitkan semula untuk dihisab, tentu kamu tidak akan lalai dengan urusan dunia.
6. nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. Demi Allah, kamu pasti akan melihat neraka Jahim pada hari Kiamat.
7. Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kemudian, kamu pasti akan menyaksikan neraka itu dengan pandangan yang nyata dan pasti.
8. Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang segala kenikmatan (yang kamu peroleh di dunia). Kemudian, pada hari itu, kamu akan ditanya mengenai segala nikmat yang telah Allah berikan kepadamu, seperti kesihatan, kekayaan dan kelapangan hidup.

Soalan 6: Bacakan Surah al-`Asr dan Tafsirannya.

Jawapan: Surah al-`Asr dan Tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Demi masa. 🎧 Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. 🎧 Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. (Surah al-`Asr: 1-3)
Tafsirannya:
1. Demi masa. Allah bersumpah dengan masa.
2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Semua manusia berada dalam kerugian dan kehancuran.
3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, menyeru kepada kebenaran dan saling mengajak untuk bersabar. Mereka inilah yang selamat dari kerugian.

Soalan 7: Bacakan Surah Al-Humazah dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Humazah dan Tafsirannya
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Kecelakaan bagi setiap pengumpat dan pencela. 🎧 Yang mengumpulkan harta dan menghitungnya (berulang-ulang). 🎧 Dia menyangka bahawa hartanya akan membuatnya kekal selamanya. 🎧 Tidak! Dia pasti akan dicampakkan ke dalam neraka al-Hutamah. 🎧 Dan tahukah kamu apakah neraka al-Hutamah itu? 🎧 Itulah api Allah yang dinyalakan (dengan dahsyat). 🎧 Yang membakar sampai ke hati. 🎧 Sesungguhnya api itu ditutup rapat ke atas mereka. 🎧 Dalam tiang-tiang yang panjang. (Surah al-Humazah: 1-9)
Tafsirannya:
1. Kecelakaan bagi setiap pengumpat dan pencela. Kecelakaan dan azab yang dahsyat bagi orang yang sering mengumpat dan mencela orang lain.
2. Yang mengumpulkan harta dan menghitungnya (berulang-ulang). Orang yang tujuan dan cita-citanya hanya untuk mengumpul harta dan menghitungnya, tiada epentingan lain melainkan itu sahaja.
3. Dia menyangka bahawa hartanya akan membuatnya kekal selamanya. Dia beranggapan bahawa hartanya yang dikumpul akan menyelamatkannya daripada mati, dan menjadikannya kekal hidup.
4. Tidak! Dia pasti akan dicampakkan ke dalam neraka al-Hutamah. Sangkaan itu salah sama sekali! Dia pasti akan dilemparkan ke dalam neraka al-Hutamah, yang akan menghancurkan apa sahaja yang dimasukkan ke dalamnya kerana kekuatannya yang dahsyat.
5. Dan tahukah kamu apakah neraka al-Hutamah itu? Tahukah kamu, wahai Rasulullah, tentang neraka yang menghancurkan segalanya itu?
6. Itulah api Allah yang dinyalakan (dengan dahsyat). Ia adalah api Allah yang menyala-nyala dengan sangat panas.
7. Yang membakar sampai ke hati. Api itu akan menembus tubuh manusia hingga ke dalam hati mereka.
8. Sesungguhnya api itu ditutup rapat ke atas mereka. Api tersebut ditutup rapat ke atas mereka yang diseksa, tanpa ada jalan keluar.
9. Dalam tiang-tiang yang panjang. Mereka akan diikat dalam tiang-tiang panjang yang tidak membenarkan mereka lari.

Soalan 8: Bacakan Surah Al-Fil dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Fil dan Tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? 🎧 Bukankah Dia telah menjadikan rancangan jahat mereka sia-sia? 🎧 Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung-burung yang berbondong-bondong. 🎧 Yang melempari mereka dengan batu-batu yang berasal dari tanah yang terbakar. 🎧 Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat). (Surah al-Fil: 1-5)
Tafsirannya:
1. Tidakkah kamu melihat bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Tidakkah kamu mengetahui, wahai Rasulullah, bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap Abrahah dan tentaranya yang datang dengan tentera gajah untuk menghancurkan Kaabah?
2. Bukankah Dia telah menjadikan rancangan jahat mereka sia-sia? Bukankah Allah telah menggagalkan rancangan buruk mereka untuk menghancurkan Kaabah sehingga mereka tidak mencapai apa yang mereka kehendaki, iaitu untuk menghalang orang daripada pergi ke Kaabah?
3. Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung-burung yang berbondong-bondong. Dan Dia mengutus kepada mereka burung-burung dalam kumpulan yang datang bertubi-tubi.
4. Yang melempari mereka dengan batu-batu yang berasal dari tanah yang terbakar. Yang melempar mereka dengan batu-batu dari tanah liat yang telah dipadatkan.
5. Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat). Sehingga Allah menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan ulat, hancur dan musnah.

Soalan 9: Bacakan Surah Quraisy dan tafsirannya.

Jawapan: Surah Quraisy dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. 🎧 Kebiasaan mereka melakukan perjalanan musim sejuk dan musim panas. 🎧 Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini (Kaabah). 🎧 Tuhan yang memberi mereka makan ketika kelaparan dan memberi mereka keamanan dari ketakutan. (Surah Quraisy: 1-4)
Tafsirannya:
1. Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. Ini merujuk kepada kebiasaan pengembaraan yang mereka lakukan dalam musim sejuk dan musim panas.
2. Kebiasaan mereka melakukan perjalanan musim sejuk dan musim panas. Mereka melakukan perjalanan pada musim sejuk ke Yaman dan pada musim panas ke Syam dengan selamat dan aman.
3. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini (Kaabah). Hendaklah mereka hanya menyembah Allah, Tuhan rumah ini (Kaabah), yang telah memudahkan perjalanan mereka, dan jangan menyekutukan-Nya dengan yang lain.
4. Tuhan yang memberi mereka makan ketika kelaparan dan memberi mereka keamanan daripada ketakutan. Allah yang telah memberi mereka makan ketika mereka dalam keadaan kelaparan. Allah juga memberikan keamanan buat mereka di kota Mekah, dengan meletakkan rasa hormat terhadap Kaabah dalam hati orang-orang Arab.

Soalan 10: Bacakan Surah al-Ma'un dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Ma'un dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Adakah kamu melihat orang yang mendustakan hari Pembalasan? 🎧 Maka dia itulah yang mengherdik anak yatim. 🎧 Dan dia tidak mendorong untuk memberi makan orang miskin. 🎧 Maka celakalah bagi orang-orang yang solat. 🎧 (Iaitu) mereka yang lalai terhadap solat mereka. 🎧 Yang berbuat riya' (memperlihatkan amal mereka). 🎧 Dan enggan memberikan pertolongan yang kecil. (Surah al-Ma'un: 1-7)
Tafsirannya:
Adakah kamu melihat orang yang mendustakan hari Pembalasan? Adakah kamu mengetahui siapakah yang menolak hari pembalasan pada hari kiamat?
2. Maka dia itulah yang mengherdik anak yatim. Dia adalah orang yang menolak dan mengherdik anak yatim dengan kasar apabila mereka memerlukan bantuan.
3. Dan dia tidak mendorong untuk memberi makan orang miskin. Dia tidak menggalakkan dirinya atau orang lain untuk memberi makan kepada orang miskin.
4. Maka celakalah bagi orang-orang yang solat. Hancurlah dan azablah bagi mereka yang mengerjakan solat.
5. (Iaitu) mereka yang lalai terhadap solat mereka. Mereka yang lalai dan tidak peduli terhadap solat, sehingga membiarkan waktunya berlalu begitu sahaja.
6. Yang berbuat riya' (memperlihatkan amal mereka). Mereka yang hanya solat untuk dilihat oleh orang lain, bukan kerana Allah.
7. Dan enggan memberikan pertolongan yang kecil. Mereka menghalang orang lain daripada memberi bantuan kecil kepada orang yang memerlukannya.

Soalan 11: Bacakan Surah al-Kawthar dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Kawthar dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Sesungguhnya Kami telah memberikan al-Kawthar kepadamu. 🎧 Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban. 🎧 Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah yang terputus. (Surah al-Kawthar: 1-3)
Tafsirannya:
1. Sesungguhnya Kami telah memberikan al-Kawthar kepadamu. Sesungguhnya Kami telah memberikanmu - wahai Rasulullah - kebaikan yang melimpah, termasuklah sungai Al-Kawthar di syurga.
2. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban. Maka bersyukurlah kepada Allah dengan mengerjakan solat dan menyembelih korban, berbeza dengan amalan orang musyrik yang menyembelih korban untuk berhala.
3. Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah yang terputus. Sesungguhnya orang yang membencimu adalah orang yang terputus dari segala sebutan kebaikan dan kemuliaan.

Soalan 12: Bacakan Surah al-Kafirun dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Kafirun dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir! 🎧 Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 🎧 Dan kamu bukanlah penyembah Tuhan yang aku sembah. 🎧 Dan aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 🎧 Dan kamu tidak akan menyembah Tuhan yang aku sembah. 🎧 Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Surah al-Kafirun: 1-6)
Tafsirannya:
1. Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir! Katakanlah, wahai Rasul, kepada orang-orang yang tidak beriman kepada Allah: "Wahai orang-orang kafir kepada Allah."
2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Aku tidak menyembah berhala-berhala yang kamu sembah, baik sekarang mahupun di masa akan datang.
3. Dan kamu bukanlah penyembah Tuhan yang aku sembah. Kamu tidak menyembah Tuhan yang aku sembah, iaitu Allah yang Esa.
4. Dan aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Aku juga tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dari berhala-berhala.
5. Dan kamu tidak akan menyembah Tuhan yang aku sembah. Kamu tidak menyembah Tuhan yang aku sembah, iaitu Allah yang Esa.
6. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. Bagi kamu agama yang kamu cipta sendiri, dan bagiku agama yang Allah turunkan kepadaku.

Soalan 13: Bacakan Surah al-Nasr dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Nasr dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. 🎧 Dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong. 🎧 Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat. (Surah al-Nasr: 1-3)
Tafsirannya:
1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Apabila pertolongan Allah datang untuk agamamu, wahai Rasul, dan apabila berlakunya pembukaan kota Mekah.
2. Dan kamu melihat manusia masuk ke dalam agama Allah dengan berbondong-bondong. Dan kamu melihat manusia berduyun-duyun masuk ke dalam Islam, satu kumpulan dan diikuti kumpulan lain.
3. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat. Maka ketahuilah bahawa demikian itu adalah petanda dekatnya pengakhiran tugasanmu, dan dekatnya ajalmu dan temu janjimu dengan Tuhanmu. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebagai manifestasi syukur atas nikmat bantuan dan kemenangan. Pintalah keampunan daripada-Nya, kerana Dia sentiasa menerima taubat para hamba dan mengampunkan mereka.

Soalan 14: Bacakan Surah al-Masad dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Masad dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Semoga binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab; dan sudah binasa pun dia! 🎧 Tidaklah berguna baginya harta bendanya dan apa yang diusahakannya. 🎧 Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. 🎧 Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar, 🎧 pada lehernya ada tali dari sabut yang dipintal. (Surah al-Masad: 1-5)
Tafsirannya:
1. Semoga binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab; dan sudah binasa pun dia! Rugilah kedua-dua tangan bapa saudara Nabi, iaitu Abu Lahab bin Abdul Muttalib kerana amalannya yang merugikan, iaitu dia kerap menyakiti Nabi SAW.
2. Tidaklah berguna baginya harta bendanya dan apa yang diusahakannya. Apakah yang harta dan keturunan dapat berikan kepadanya? Ia tidak mampu menghalangnya daripada azab Allah, tidak juga membantunya mendapat rahmat Allah.
3. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Pada hari Kiamat kelak, dia akan dihumbankan dalam api neraka yang bergelojak dek terlampau panas.
4. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar, Begitu juga isterinya, Ummu Jamil, yang kerap menyakiti Nabi SAW dengan meletakkan duri pada tempat jalan baginda SAW.
5. Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal. Kelak pada hari Kiamat, akan ada tali pintal yang tebal, melilit tengkuk isterinya dan mengheretnya ke neraka.

Soalan 15: Bacakan Surah al-Ikhlas dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Ikhlas dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Katakanlah (wahai Nabi): Sungguh, Allah itu Maha Esa. 🎧 Allah tempat bergantung segala sesuatu. 🎧 Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. 🎧 Dan tiada sesuatu yang setara dengan-Nya. (Surah al-Ikhlas, 1-4)
Tafsirannya:
1. Katakanlah (wahai Nabi): Sungguh, Allah itu Maha Esa. Sampaikanlah, wahai Rasul: Sesungguhnya Allah itu tiada sembahan selain-Nya.
2. Allah tempat bergantung segala sesuatu. Kepada-Nya segala hajat para hamba dirafakkan.
3. Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Dia tidak ada anak, tidak ada bapa.
4. Dan tiada sesuatu yang setara dengan-Nya. Tiada sebarang makhluk-Nya yang seperti-Nya.

Soalan 16: Bacakan Surah al-Falaq dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Falaq dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Katakanlah, wahai Nabi: Aku berlindung kepada Empunya Fajar. 🎧 Daripada kejahatan makhluk yang Dia ciptakan. 🎧 Dan daripada kejahatan malam apabila ia menjadi gelap-gelita. 🎧 Dan daripada kejahatan peniup buhul. 🎧 Dan daripada kejahatan orang yang berhasad apabila dia hasad. (Surah al-Falaq: 1-5)
Tafsirannya:
1. Katakanlah, wahai Nabi: Aku berlindung kepada Empunya Fajar. Katakanlah, wahai Nabi: Saya mendapatkan perlindungan daripada Tuhan yang memiliki waktu Subuh.
2. Daripada kejahatan makhluk yang Dia ciptakan. Daripada kejahatan makhluk yang menggangu dan menyakitkan.
3. Dan daripada kejahatan malam apabila ia menjadi gelap-gelita. Dan saya juga berlindung dengan Allah daripada kejahatan yang kerap muncul pada waktu malam, seperti haiwan buas dan perompak.
4. Dan daripada kejahatan peniup buhul. Dan saya juga berlindung dengan-Nya daripada kejahatan ahli-ahli sihir wanita yang kebiasaannya meniup pada tali-tali yang bersimpul.
5. Dan daripada kejahatan orang yang berhasad apabila dia hasad. Dan juga daripada kejahatan orang yang hasad, yang membenci orang lain, apabila dia dengki terhadap nikmat yang Allah berikan. Dia mahukan nikmat tersebut dihilangkan daripada orang itu dan mahukan orang itu ditimpa musibah pula.

Soalan 17: Bacakan Surah al-Nas dan tafsirannya.

Jawapan: Surah al-Nas dan tafsirannya:
🎧 Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi
🎧 Katakanlah, wahai Nabi: Saya berlindung dengan Tuhan sekalian manusia, 🎧 Raja sekalian manusia, 🎧 sembahan sekalian manusia, 🎧 daripada kejahatan syaitan yang suka memberikan waswas tetapi kerap mundur, 🎧 yang memberi waswas pada dada-dada manusia, sama ada jin mahupun manusia. (Surah al-Nas: 1-6)
Tafsirannya:
1. Katakanlah, wahai Nabi: Saya berlindung dengan Tuhan sekalian manusia, Katakanlah, wahai Nabi: Saya memohon perlindungan daripada Tuhan yang menguasai sekalian manusia,
2. Raja sekalian manusia, Dia melakukan mereka mengikut kehendak-Nya, tiada yang menguasai mereka selain-Nya.
3. sembahan sekalian manusia, Dia satu-satunya sembahan yang berhak, tiada yang berhak disembah selain Dia,
4. daripada kejahatan syaitan yang suka memberikan waswas tetapi kerap mundur, daripada syaitan yang kerap membisikkan waswasnya kepada manusia,
5. yang memberi waswas pada dada-dada manusia, syaitan itu mencampakkan waswasnya pada hati-hati manusia,
6. sama ada jin mahupun manusia. Ada pemberi waswas dari bangsa jin, ada juga dari bangsa manusia.
********

Bahagian Hadis14

Hadis Pertama: Soalan 1: Lengkapkan hadis: "Setiap amalan bergantung dengan niat..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab RA, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang hanya mendapat apa yang dia niatkan. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya diniatkan untuk dunia atau wanita, maka hijrahnya adalah kepada niatnya sahaja." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Setiap amalan mestilah disertai dengan niat, sama ada solat, puasa, haji atau amalan-amalan lain.
2. Pentingnya ikhlas dalam niat semata-mata kerana Allah SWT.

Hadis Kedua: Soalan 2: Lengkapkan hadis "Sesiapa yang membuat sesuatu perkara baru dalam urusan kami ini..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Ummul Mukminin Ummu Abdullah, Aisyah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membuat sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini yang bukan daripadanya, maka ia tertolak." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Larangan daripada melakukan perkara bidaah dalam agama.
2. Amalan yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak dan tidak diterima.

Hadis Ketiga: Soalan 3: Lengkapkan hadis "Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Umar bin al-Khattab RA, katanya: "Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan berambut sangat hitam. Tidak kelihatan padanya tanda-tanda sebagai seorang musafir, dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya. Dia duduk di hadapan Nabi SAW, lalu menyandarkan lututnya ke lutut baginda dan meletakkan tapak tangannya di atas pehanya, kemudian berkata: 'Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang Islam.' Rasulullah menjawab: 'Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji ke Baitullah jika mampu.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Kami merasa hairan kerana dia bertanya dan kemudian membenarkan jawapannya. Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang iman.' Rasulullah menjawab: 'Iman ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, dan takdir baik dan buruk.' Lelaki itu berkata, 'Benar.' Dia berkata lagi, 'Terangkan kepadaku tentang ihsan.' Rasulullah menjawab: 'Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihatmu.' Lelaki itu berkata, 'Beritahu aku tentang kiamat.' Rasulullah menjawab, 'Yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya.' Dia bertanya lagi, 'Beritahu aku tentang tanda-tandanya.' Rasulullah menjawab: 'Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan kamu melihat orang yang miskin, bertelanjang, dan pengembala kambing saling berlumba-lumba mendirikan bangunan tinggi.' Kemudian dia berlalu pergi, dan kami terdiam sejenak. Lalu Rasulullah bersabda, 'Wahai Umar, tahukah kamu siapa yang bertanya tadi?' Aku berkata, 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Rasulullah bersabda, 'Dia ialah Jibril, yang datang untuk mengajarkan kamu tentang agama kamu.'" Riwayat Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Menyebutkan lima rukun Islam iaitu:
- Mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah.
- Mendirikan solat.
- Menunaikan zakat.
- Berpuasa pada bulan Ramadan.
- Menunaikan haji ke Baitullah.
2. Menyebutkan enam rukun iman iaitu:
- Beriman kepada Allah.
- Beriman dengan malaikat-Nya.
- Beriman dengan kitab-kitab-Nya.
- Beriman dengan para rasul-Nya.
- Beriman dengan hari akhirat.
- Beriman dengan takdir, sama ada yang baik atau yang buruk.
3. Menyebutkan rukun ihsan iaitu satu perkara, iaitu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya. Jika tidak, yakinlah bahawa Dia melihat kita.
4. Masa berlakunya hari kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT.

Hadis Keempat: Soalan 4: Lengkapkan hadis "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abu Hurayrah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya." Riwayat al-Tirmidhi, dan beliau menyatakan: 'Hadis hasan sahih.'
Faedah daripada hadis ini:

1. Galakan untuk memiliki akhlak yang baik.
2. Kesempurnaan akhlak adalah tanda kesempurnaan iman.
3. Iman boleh bertambah dan berkurang.

Hadis Kelima: Soalan 5: Lengkapkan hadis "Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Ibn Umar RA, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, dia telah kufur atau melakukan syirik." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

- Tidak dibenarkan bersumpah kecuali dengan nama Allah SWT.
- Bersumpah dengan selain Allah adalah termasuk dalam syirik kecil.

Hadis Keenam: Soalan 6: Lengkapkan hadis "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapanya, anaknya, dan manusia keseluruhannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

- Mencintai Nabi SAW lebih dari segala manusia adalah wajib.
- Ini adalah tanda kesempurnaan iman.

Hadis Ketujuh: Soalan 7: Lengkapkan hadis "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

- Seorang mukmin harus menginginkan kebaikan untuk orang lain sebagaimana dia menginginkannya untuk dirinya sendiri.
- Ini adalah tanda kesempurnaan iman.

Hadis Kelapan: Soalan 8: Lengkapkan hadis "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abu Sa'id RA, Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya! Sesungguhnya surah ini (al-Ikhlas) sebanding dengan sepertiga al-Quran." Riwayat al-Bukhari.
Faedah daripada hadis ini:

- Kemuliaan Surah al-Ikhlas.
- Ia sebanding sepertiga al-Quran.

Hadis Kesembilan: Soalan 9: Lengkapkan hadis "La hawla wa la quwwata illa billah..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abu Musa al-Asy'ari RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Zikir 'La hawla wa la quwwata illa billah' adalah salah satu daripada khazanah-khazanah syurga." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Keutamaan zikir ini yang merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah syurga.
2. Sewajarkan seorang hamba bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT, dan berlepas diri daripada usaha dan kekuatannya.

Hadis Kesepuluh: Soalan 10: Lengkapkan hadis "Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Nu'man bin Basyir RA, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging; jika ia baik, baiklah seluruh jasad, dan jika ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Faedah daripada hadis ini:

1. Hati yang baik membawa kepada zahir dan batin yang baik.
2. Kewajipan untuk mengambil berat berkenaan hati, kerana ia adalah punca kebaikan seseorang.

Hadis Kesebelas: Soalan 11: Lengkapkan hadis "Sesiapa yang akhir ucapannya - dari dunia ini - La ilaha illallah..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Mu'az bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang akhir ucapannya: 'La ilaha illallah'; dia akan masuk syurga." Riwayat Abu Dawud.
Faedah daripada hadis ini:

1. Kemuliaan kalimah 'La ilaha illallah' yang dapat membawa seseorang masuk syurga.
2. Kelebihan mengakhiri hayat dengan kalimah ini.

Hadis Kedua Belas: Soalan 12: Lengkapkan hadis "Seorang mukmin itu bukan pencela, bukan pelaknat..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu bukan pencela, bukan pelaknat, bukan yang berkata keji dan bukan yang berkata kotor." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

- Larangan mengucapkan perkataan keji dan buruk.
- Ini adalah ciri seorang Mukmin (orang beriman).

Hadis Ketiga Belas: Soalan 13: Lengkapkan hadis "Antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abu Hurairah RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya." Riwayat al-Tirmidhi dan lain-lain.
Faedah daripada hadis ini:

1. Meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat dalam urusan agama dan dunia.
2. Ciri ini menunjukkan kesempurnaan Islam seseorang.

Hadis Keempat Belas: Soalan 14: Lengkapkan hadis "Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah..." dan sebutkan beberapa faedahnya.

Jawapan: Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca satu huruf dari Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan dilipat gandakan menjadi sepuluh. Sahaya tidak mengatakan: Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." Riwayat al-Tirmidhi.
Faedah daripada hadis ini:

1. Kelebihan membaca al-Quran.
2. Setiap huruf al-Quran yang dibaca, akan diperoleh banyak kebaikan (pahala).
********

Bahagian Adab Islami27

Adab Dengan Allah SWT: Soalan 1: Bagaimanakah untuk beradab dengan Allah SWT?

Jawapan:
1. Dengan mengagungkan Allah SWT. Allah SWT berfirman: "Mereka (orang-orang musyrikin) tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang sewajarnya, sedangkan bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada Hari Kiamat, dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sekutukan." (Surah al-Zumar: 67).
2. Menyembah Allah SWT semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan sesiapa. Allah SWT berfirman: "Padahal mereka hanya diperintahkan untuk menyembah Allah semata-mata, dengan mengikhlaskan ibadah buat-Nya semata-mata, dan menjauhi syirik." (Surah al-Bayyinah: 5).
3. Mentaati Allah SWT. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah!" (Surah Muḥammad: 33).
4. Tidak melakukan maksiat (derhaka) kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas-Nya, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka, kekal di dalamnya, baginya azab yang menghinakan." (Surah al-Nisa': 14).
5. Mensyukuri dan memuji Allah SWT atas nikmat kurnia-Nya yang tidak terhitung. Allah SWT berfirman: "Syukurilah nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah-Nya." (Surah al-Nahl: 114)
6. Bersabar atas ketentuan Allah SWT. Allah SWT berfirman: "Bersabarlah; Allah benar-benar bersama orang yang bersabar." (Surah al-Anfal: 46).

Adab Dengan Rasulullah SAW: Soalan 2: Bagaimanakah beradab dengan Rasulullah SAW?

Jawapan:
1. Mengikuti dan mencontohi baginda. Allah SWT berfirman: "Demi Allah; Pada diri Rasulullah itu terdapat panduan yang baik buat kamu, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari Akhirat, serta banyak mengingati Allah." (Surah al-Ahzab: 21).
2. Mentaati baginda SAW.
3. Tidak menderhakai baginda. Allah SWT berfirman: "Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka dia sedang mentaati Allah. Sesiapa yang berpaling daripadamu, wahai Rasul, maka Kami tidak mengutuskanmu sebagai penjaga mereka." (Surah al-Nisa': 80).
4. Mempercayai khabar yang disampaikan baginda. Allah SWT berfirman: "Baginda tidak pernah menutur apa-apa berdasarkan hawa nafsunya. Segala sabdaan baginda hanyalah wahyu yang disampaikan." (Surah al-Najm: 3-4).
5. Tidak melakukan bidaah dengan menambah lain daripada sunnah baginda SAW. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang membuat sesuatu perkara baru dalam urusan (agama) kami ini yang bukan daripadanya, maka ia tertolak." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
6. Mencintai baginda lebih daripada mencintai segala-galanya, termasuk diri sendiri. Nabi ﷺ bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada bapanya, anaknya, dan manusia keseluruhannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Mengagungkan baginda, membela baginda dan sunnah baginda. Allah SWT berfirman: "Agar kamu semua beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kalian menyokong dan memuliakan baginda." (Surah al-Fath: 9).

Adab Dengan Ibu Bapa? Soalan 3: Bagaimanakah beradab dengan ibu bapa?

Jawapan:
1. Mentaati mereka pada selain maksiat.
2. Berkhidmat untuk mereka.
3. Membantu mereka.
4. Memenuhi keperluan mereka.
5. Mendoakan kebaikan mereka.
6. Bersopan ketika berkata-kata dengan mereka. Tidak boleh berkata walaupun hanya 'isy....'
7. Senyum dan tidak memasamkan wajah di hadapan mereka.
8. Saya tidak meninggikan suara saya melebihi suara ibu bapa, saya mendengar setiap perkataan mereka, tidak memotong atau mencelah, tidak memanggil mereka dengan nama, tetapi dengan gelaran seperti 'Bapaku, ibuku.'
9. Meminta izin untuk memasuki ruangan mereka.
10. Mengucup tangan dan kepala mereka.
Allah SWT berfirman:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia, dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sampai usia tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau mengatakan 'Ah' kepada mereka, dan janganlah engkau membentak mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, 'Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku semasa kecil.'" (Surah al-Isrāʾ: 24-23).
Dalam hadis, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW meminta izin untuk berjihad. Baginda bertanya: "Adakah kamu mempunyai ibu bapa?" Lelaki itu menjawab: "Ya." Nabi SAW bersabda: "Maka, berjihadlah dengan berkhidmat kepada mereka." Riwayat al-Tirmidhi.

ِAdab Bersilaturahim: Soalan 4: Bagaimanakah cara menjaga hubungan silaturahim?

Jawapan:
1. Menziarahi saudara-mara terdekat, seperti adik-beradik, bapa saudara, ibu saudara, dan lain-lain.
2. Berbuat baik dengan ucapan, tindakan dan bantuan.
3. Berhubung dan bertanya khabar.
Allah SWT berfirman:
"Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan kamu?" (Surah Muḥammad: 22).
Nabi SAW bersabda:
"Tidak masuk syurga orang yang memutuskan tali persaudaraan." Hadis riwayat Muslim.

Adab Sesama Rakan: Soalan 5: Bagaimanakan cara beradab dengan kawan-kawan?

Jawapan:
1. Saya mencintai dan bersahabat dengan orang-orang baik.
2. Saya menjauhi dan tidak bersahabat dengan orang-orang jahat. Nabi SAW bersabda: "Janganlah berkawan melainkan dengan orang beriman. Jangan ada yang makan makananmu, melainkan orang bertakwa." Hadis riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud.
3. Saya memberi salam dan berjabat tangan apabila bertemu mereka. Nabi SAW bersabda: "Jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, mereka akan diampunkan selama mana belum berpisah." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.
4. Saya melawat dan mendoakan kesembuhan mereka sekiranya mereka jatuh sakit.
5. Saya mendoakan rahmat jika mereka bersin.
6. Saya memenuhi jemputan mereka sekiranya mereka menjemput saya. Nabi SAW bersabda: "Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada lima: membalas salam, menziarahi yang sakit, mengikuti jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang yang bersin." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Saya menasihati mereka. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi nasihat kepada saudaranya untuk melakukan sesuatu, padahal dia tahu kebaikan pada yang lain, dia telah mengkhianat saudaranya." Riwayat Abu Dawud.
8. Saya membelanya apabila dizalimi, saya menegahnya apabila dia menzalimi. Rasulullah SAW bersabda: "Bantulah saudaramu yang dizalimi atau yang berbuat zalim." Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasulullah, aku faham jika membantu yang dizalimi, tetapi bagaimana jika dia yang berbuat zalim?" Baginda menjawab: "Halanglah dia daripada melakukan kezaliman; itulah bantuannya." Riwayat al-Bukhari.
9. Saya inginkan kebaikan buat saudara Islam saya, seperti saya inginkan buat diri sendiri. Daripada Anas RA, Nabi SAW bersabda: "Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
10. Saya membantunya ketika dia memerlukan. Nabi SAW bersabda: "Allah akan sentiasa membantu seorang hamba, selagi mana dia bersedia membantu saudaranya." Riwayat Muslim.
11. Saya tidak menyakitinya dengan ungkapan atau perbuatan. Nabi SAW bersabda: "Muslim sejati ialah orang yang saudara Muslimnya yang lain selamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
12. Saya menjaga rahsianya. Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang bercerita kepadamu lalu dia menoleh ke kiri dan kanan, maka itu adalah amanah untuk kamu jaga." Riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud.
13. Saya tidak akan mencaci, mengumpat, merendahkan, atau iri hati terhadap mereka, serta tidak mengintip atau menipu mereka.
Nabi SAW bersabda:
"Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain; dia tidak menzaliminya, tidak mengecewakannya, dan tidak merendahkannya. Cukuplah seseorang itu dianggap jahat apabila dia merendahkan saudaranya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adab Berjiran: Soalan 6: Apakah adab-adab kejiranan?

Jawapan:
1. Saya berbuat baik kepada jiran dengan kata-kata dan perbuatan serta membantu mereka jika memerlukan.
2. Saya memberi ucapan tahniah ketika mereka gembira, seperti ketika perayaan atau perkahwinan.
3. Saya menziarahi mereka jika sakit dan mengucapkan takziah jika mendapat musibah.
4. Saya memberikan makanan yang ada kepada mereka jika mampu.
5. Saya tidak menyakiti mereka dengan kata-kata atau perbuatan.
6. Saya tidak membuat bising, tidak mengintip mereka dan saya berusaha untuk sabar dengan kerenah mereka.
Allah SWT berfirman:
"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat, jiran yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah al-Nisa': 36).
Nabi SAW juga bersabda:
"Wahai Abu Zar, jika kamu memasak kuah, maka lebihkan airnya dan kongsikan dengan jiranmu." Riwayat Muslim.
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adab Menjadi Tetamu: Soalan 7: Apakah adab-adab ketika berkunjung dan menjadi tetamu?

Jawapan:
1. Saya berusaha memenuhi undangan sesiapa yang menjemput ke majlisnya.
2. Jika saya ingin menziarahinya, saya akan meminta izin dan membuat janji temu terlebih dahulu.
3. Saya meminta izin sebelum masuk.
4. Saya tidak datang lewat daripada janji temu.
5. Saya menundukkan pandangan daripada penghuni rumah.
6. Saya menyambut tetamu dengan mesra dan kata-kata aluan.
7. Saya memberikan tetamu tempat duduk terbaik.
8. Saya menyediakan jamuan untuk tetamu.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Itu lebih baik bagi kamu agar kamu selalu ingat." (Surah al-Nūr: 27).
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah mensyariatkan meminta izin masuk untuk menjaga pandangan mata." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Baginda SAW juga bersabda:
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adab Berkaitan Sakit: Soalan 8: Apakah adab-adab ketika sakit dan ketika menziarahi orang sakit?

Jawapan:
1. Apabila saya merasa sakit, saya akan letakkan tangan kanan pada tempat yang sakit dan ucapkan: "Bismillah" tiga kali, kemudian ucapkan: "Aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan yang aku rasakan dan yang aku khuatiri" sebanyak tujuh kali.
2. Reda dengan takdir Allah dan bersabar. Dalam hadis daripada Umm al-‘Ala’ RA: Rasulullah SAW menziarahiku ketika saya sakit, lalu baginda bersabda: "Bergembiralah, wahai Umm al-‘Ala’; kerana penyakit orang Muslim akan menghapuskan dosa-dosanya seperti api yang membersihkan kotoran emas dan perak." Riwayat Abu Dawud.
3. Saya bersegera menziarahi saudara yang sedang sakit, mendoakan kesembuhannya, serta tidak duduk lama ketika ziarah.
4. Saya meruqyahnya tanpa dia memintanya.
5. Saya berpesan kepadanya untuk bersabar dan berdoa, menjaga solat dan taharah sekadar yang mampu.
6. Doa kepada orang sakit: "Kupohon pada Allah yang Agung, Empunya Singgahsana Agung, agar Dia menyembuhkanmu." Sebanyak 7 kali.

Adab Penuntut Ilmu: Soalan: 9: Apakah adab-adab dalam menuntut ilmu?

Jawapan:
1. Ikhlas dalam niat menuntut ilmu semata-mata kerana Allah. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan ulama, berdebat dengan orang bodoh, atau menarik perhatian orang ramai, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka." Riwayat Ibn Majah.
2. Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Nabi SAW bersabda: "Kaki seorang hamba tidak akan berganjak pada Hari Kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara: - salah satunya - tentang ilmu, apa yang dia amalkan dengannya." Riwayat al-Tirmidhi dan al-Darimi.
3. Menghormati dan memuliakan guru, ketika di hadapannya mahupun di belakangnya.
4. Duduk sopan di hadapan guru.
5. Mendengar huraian guru dengan fokus dan tidak mencelahnya.
6. Bertanya dengan sopan.
7. Tidak memanggil guru dengan namanya,
Nabi SAW bersabda:
"Termasuk dalam memuliakan Allah ialah menghormati orang tua Muslim dan orang yang menjaga al-Quran." Riwayat Abu Dawud.

Adab Dalam Majlis: Soalan 10: Apakah adab-adab dalam majlis?

Jawapan:
1. Memberi salam apabila memasuki majlis.
2. Duduk di tempat yang tersedia tanpa menggeser orang lain, dan tidak duduk di antara dua orang kecuali dengan izin mereka.
3. Memberi ruang kepada orang lain untuk duduk.
4. Tidak memotong perbualan di majlis.
5. Minta izin dan beri salam sebelum beredar.
Daripada Ibn 'Umar RA, daripada Nabi SAW, "Baginda melarang seseorang mengusir orang yang sudah duduk di tempatnya. Sebaliknya, hendaklah kalian memberi ruang dan meluaskan tempat." Riwayat al-Bukhari.
Nabi SAW bersabda:
"Jika salah seorang dari kamu datang ke majlis, hendaklah dia memberi salam. Jika dia ingin pergi, hendaklah dia memberi salam juga, kerana yang pertama tidak lebih berhak daripada yang terakhir." Riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud.
6. Apabila majlis sudah berakhir, saya membaca doa Kaffaratul Majlis, iaitu: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu."

Adab Tidur: Soalan 11: Apakah adab-adab tidur?

Jawapan:
1. Tidur awal. Dalam hadis: "Daripada Abu Barzah RA, bahawa Rasulullah SAW tidak suka tidur sebelum solat Isyak, dan berbual-bual selepasnya." Riwayat al-Bukhari.
2. Tidur dalam keadaan berwuduk.
3. Tidak tidur meniarap.
4. Tidur mengiring ke kanan, meletakkan tangan di bawah pipi kanan.
5. Mengibas tempat tidur.
Dalam hadis:
Daripada al-Bara' bin 'Azib RA, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu hendak tidur, berwuduklah sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di sisi kanan." Riwayat al-Bukhari.
Daripada Abu Hurayrah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW melihat seorang lelaki yang tidur meniarap, lalu baginda bersabda, "Cara tidur ini tidak disukai Allah." Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad.
Nabi SAW juga bersabda, "Jika seseorang kamu hendak tidur, maka kibaslah tempat tidurnya dengan kainnya, kerana dia tidak tahu apakah yang berada di situ ketika dia tiada." Riwayat al-Bukhari.
6. Membaca zikir-zikir tidur, seperti Ayat al-Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas, sebanyak tiga kali. Kemudian saya membaca: "Dengan nama-Mu, ya Allah, aku mati dan aku hidup."
7. Saya bangkit untuk solat Subuh.
8. Saya membaca zikir bangun tidur, iaitu: "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas kami mati, dan kepada-Nya kita dikembalikan."

Adab Makan: Soalan 12: Apakah adab-adab makan?

Jawapan:
1. Berniat makan dan minum untuk mendapat kekuatan beribadah kepada Allah.
2. Membasuh tangan sebelum makan.
Dalam hadis daripada Aisyah RA:
"Rasulullah SAW biasa membasuh tangan sebelum makan dan minum." Riwayat Ahmad.
3. Membaca "Bismillah", makan dengan tangan kanan dan mengambil makanan yang terdekat. Saya tidak memanjangkan tangan ke tengah hidangan, atau ke hadapan orang lain.
Sunah ini berdasarkan hadis:
"Wahai pemuda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, ambillah makanan terdekatmu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
4. Membaca "Bismillah awwalahu wa akhirahu," sekiranya terlupa bacaan "Bismillah" pada awal makan.
Dalam hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Jika seseorang makan, hendaklah dia menyebut 'Bismillah.' Jika dia terlupa, hendaklah dia mengucapkan 'Bismillah pada awal dan akhirnya.'" Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad.
5. Berpuas hati dengan makanan yang ada, tidak mencela makanan. Jika suka, makanlah, jika tidak, tinggalkan.
Dalam hadis Abu Hurayrah RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, baginda makan. Jika tidak, baginda tinggalkan." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
6. Makan dengan sederhana dan tidak berlebihan.
Dalam hadis:
"Anak Adam tidak mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika terpaksa, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk pernafasan." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah.
7. Tidak meniup makanan atau minuman, sebaliknya biarkan ia sejuk sendiri.
Dalam hadis:
"Rasulullah SAW melarang meniup makanan atau minuman." Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.
8. Makan berjemaah, sama ada dengan keluarga atau tetamu.
"Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:
'Kami makan tetapi tidak merasa kenyang.' Baginda bersabda: "Mungkin kamu makan berasingan. Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah, maka keberkatan akan datang kepada kamu." Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah.
9. Tidak memulakan makan sebelum orang dewasa.
10. Menyebut nama Allah setiap kali minum, dan minum sambil duduk, dengan tiga tegukan, tidak bernafas ke dalam cawan.
Sunah ini berdasarkan hadis:
"Jika kamu minum, janganlah bernafas ke dalam cawan." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dan berdasarkan hadis Anas bin Malik RA, "Rasulullah SAW melarang dari minum sambil berdiri." Riwayat Muslim.
Juga berdasarkan hadis:
"Rasulullah SAW biasa meneguk air sebanyak tiga kali." Riwayat Muslim.
11. Memuji Allah selepas makan dan minum.
Dalam hadis:
"Allah reda kepada hamba yang memuji-Nya atas makanan atau minuman yang dimakannya." Riwayat Muslim.

Adab Berpakaian: Soalan 13: Apakah adab berpakaian?

Jawapan:
1. Mulakan dengan kanan, dan memuji Allah atas nikmat pakaian.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu memakai pakaian atau berwuduk, mulailah dengan sebelah kanan." Riwayat Abu Dawud dan Ahmad.
2. Tidak mengenakan pakaian labuh melebihi buku lali.
Dalam hadis:
"Pakaian yang melebihi bawah buku lali akan berada di dalam neraka." Riwayat al-Bukhari. Buku lali adalah tulang yang timbul pada pergelangan kaki.
3. Lelaki tidak memakai pakaian perempuan, dan perempuan tidak memakai pakaian lelaki.
Dalam hadis:
"Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki." Riwayat Abu Dawud dan Ahmad.
4. Tidak mengenakan pakaian yang menyerupai orang kafir atau fasiq.
Larangan ini berdasarkan hadis:
"Sesiapa yang merupai sesuatu kaum, dia termasuk daripada mereka." Riwayat Abu Dawud.
5. Membaca "Bismillah" ketika menanggalkan pakaian.
Dalam hadis:
"Penutup antara aurat manusia dan jin ialah ucapan 'Bismillah' ketika dia menanggalkan pakaiannya." Riwayat al-Tabarani dan Ibn Abu Syaybah.
6. Memakai kasut dengan sebelah kanan terlebih dahulu dan menanggalkan sebelah kiri terlebih dahulu.
Sunnah ini berdasarkan hadis 'Aisyah RA:
"Nabi SAW gemar untuk memulakan dengan kanan ketika menyarung capal, ketika bersikat, ketika bersuci, dan pada semua urusannya yang lain." Riwayat al-Bukhari.

Adab Naik Kenderaan: Soalan 14: Apakah adab-adab menaiki kenderaan?

Jawapan:
1. Mengucapkan: "Bismillah, Alhamdulillah," dan membaca ayat: "Maha Suci (Allah) yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami." (Surah al-Zukhruf: 13-14).
2. Memberi salam apabila melintasi mana-mana orang Islam.

Adab Di Jalanan: Soalan 15: Apakah adab-adab semasa di jalanan?

Jawapan:
1. Berjalan dengan sopan dan merendahkan diri. Firman Allah: "Janganlah kamu berjalan di bumi dengan sombong, kerana kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak mencapai setinggi gunung." (Surah al-Isrāʾ: 37).
2. Membri salam kepada sesiapa yang saya temui.
Nabi SAW ditanya:
"Amalan Islam manakah yang terbaik?" Baginda menjawab: 'Memberi makan (kepada orang yang memerlukan) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang tidak engkau kenal.'" Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
3. Menundukkan pandangan dan tidak menyakiti sesiapa.
4. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Berilah hak kepada jalan." Mereka bertanya: "Apa hak jalan itu?" Baginda bersabda: "Menundukkan pandangan, menahan diri daripada menyakiti, membalas salam, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
5. Mengalihkan gangguan dari jalan.
Dalam hadis:
"Mengalihkan gangguan dari jalan adalah sedekah." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adab Masuk Keluar Rumah: Soalan 16: Apakah adab masuk dan keluar rumah?

Jawapan:
1. Keluar dengan kaki kiri, seraya membaca: "Bismillah, tawakkaltu 'ala Allah, la hawla wa la quwwata illa billah. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, serta berlaku bodoh atau diperlakukan secara bodoh."
2. Masuk ke dalam rumah dengan kaki kanan, sambil mengucapkan: "Bismillah, kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami bertawakkal."
3. Bersiwak sebelum masuk dan memberi salam kepada ahli rumah.
Dalam hadis:
"Apabila Nabi SAW masuk rumah, baginda memulakan dengan bersiwak." Riwayat Ibn Majah.

Adab Ketika Buang Hajat: Soalan 17: Apakah adab-adab ketika buang hajat?

Jawapan:
1. Masuk tandas dengan kaki kiri.
2. Sebelum masuk, saya mengucapkan: "Bismillah, wahai Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan betina."
3. Tidak membawa sebarang tulisan nama Allah.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: "Setiap kali Nabi SAW masuk ke dalam tempat buang air, baginda akan menanggalkan cincin baginda." Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah.
4. Menutup diri ketika buang hajat.
Dalam hadis:
"Nabi SAW lebih suka menutup dirinya ketika buang hajat dengan dinding yang tinggi atau di antara pokok-pokok kurma." Riwayat Muslim.
5. Tidak berbual di tempat buang hajat.
6. Tidak menghadap atau membelakangi kiblat.
Nabi SAW bersabda:
"Jangan menghadap kiblat ketika buang air besar atau kecil, tetapi menghadaplah ke arah timur atau barat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Menggunakan tangan kiri untuk membersihkan najis, bukan tangan kanan.
Sunah ini berdasarkan hadis:
"Nabi SAW melarang kami beristinjak dengan tangan kanan." Riwayat Muslim.
8. Tidak buang hajat di jalanan atau teduhan.
Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hati-hatilah terhadap dua perkara yang menyebabkan laknat." Mereka bertanya: "Apa itu, ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Membuang hajat di jalan orang atau di tempat teduh mereka." Riwayat Muslim.
9. Basuh kedua-dua tangan selepas buang hajat. Jarir RA berkata: Saya pernah bermusafir bersama Nabi SAW, lalu baginda pergi membuang hajat. Kemudian baginda memanggil saya, "Wahai Jarir, berilah air kepada saya." Maka saya pun datang membawa air, lalu baginda beristinjak dengan air, kemudian membasuh tangannya lalu digosokkan ke tanah. Riwayat al-Nasa'i.
10. Keluar tempat buang hajat dengan kaki kiri, seraya mengucapkan: "Keampunan-Mu kuharapkan."

Adab Masjid: Soalan 18: Apakah adab-adab di masjid?

Jawapan:
1. Masuk dengan kaki kanan, seraya membaca: "Bismillah, Allahumma iftah li abwaba rahmatik" (Dengan nama Allah, ya Allah, bukakanlah pintu rahmat-Mu).
2. Tidak duduk sebelum melakukan solat sunat dua rakaat.
Sunah ini berdasarkan hadis:
"Jika salah seorang dari kamu masuk masjid, janganlah duduk sehingga solat dua rakaat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
3. Tidak melintasi orang solat, tidak mengiklankan barang hilang, tidak berjual beli di dalam masjid. Nabi ﷺ bersabda: "Jika seseorang mengetahui apa akibat melintas di hadapan orang yang sedang solat, maka berdiri menunggu selama empat puluh (hari, bulan, atau tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
"Sesiapa yang mendengar seseorang mencari barang hilang di masjid, maka katakanlah: 'Semoga Allah tidak mengembalikan barangmu,' kerana masjid tidak dibina untuk itu." Riwayat Muslim.
Nabi SAW bersabda:
"Jika kalian melihat orang berjual beli di masjid, maka ucaplah: Semoga Allah tidak menguntungkan jual beli anda." Riwayat al-Tirmidhi dan al-Darimi.
4. Menjaga kebersihan masjid.
Daripada 'A'isyah RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW memerintahkan agar masjid-masjid dibina di kawasan perumahan dan dijaga kebersihan serta kewangiannya." Riwayat al-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ahmad.
5. Keluar masjid dengan kaki kiri, seraya berkata: "Allahumma inni as'aluka min fadlik" (Ya Allah, aku memohon kurniaan-Mu).

Adab Memberi Salam Soalan 19: Apakah adab-adab berkaitan salam?

Jawapan:
1. Memulakan sapaan dengan salam setiap kali bertemu mana-mana Muslim, dengan ucapan, "Assalamu alaykum warahmatullah wabarakatuh." Bukan dengan sapaan atau isyarat tangan sahaja.
2. Senyum ketika memberi salam. Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu meremehkan sebarang amalan baik, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah ceria." Riwayat Muslim.
3. Berjabat tangan dengan tangan kanan.
4. Apabila dia menyapa dengan salam, saya membalas dengan sapaan yang lebih baik, atau sama baik.
Allah SWT berfirman:
"Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu ucapan hormat, maka balaslah dengan yang lebih baik atau balaslah dengan yang setara. Sesungguhnya Allah menghitung segala sesuatu." (Surah al-Nisa': 86).
5. Tidak memberi salam kepada orang kafir. Jika dia memulakan salam, saya hanya menyahut, "Waalaykum."
Larangan ini berdasarkan hadis:
"Janganlah kamu mulakan salam kepada orang Yahudi atau Nasrani." Riwayat Muslim.
6. Orang muda memulakan salam kepada yang tua, orang yang menunggang memulakan salam kepada yang berjalan, orang yang berjalan memulakan salam kepada orang yang duduk, kumpulan sedikit memulakan salam kepada kumpulan ramai. Rasulullah SAW bersabda: "Yang berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan, yang berjalan kepada yang duduk, dan yang sedikit kepada yang ramai." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
7. Tidak bersalaman dengan lain jantina yang bukan mahram.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata: "Tidak, demi Allah. Tangan Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh mana-mana tangan wanita asing walaupun sekali." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adab Meminta Izin: Soalan 20: Apakah adab-adab berkaitan meminta izin?

Jawapan:
1. Meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk tempat orang lain.
2. Hanya meminta izin tiga kali. Selepas tiga kali, terus beredar.
Nabi SAW bersabda:
"Jika seseorang meminta izin tiga kali dan tidak diizinkan, maka hendaklah dia pergi." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
3. Mengetuk pintu dengan sopan, berdiri di sisi pintu agar tidak melihat isi rumah, bukan di hadapan pintu, dan mengucapkan salam. Sunah ini berdasarkan hadis: "Apabila Rasulullah SAW datang ke sebuah rumah, baginda tidak berdiri tepat di hadapan pintu, tetapi di sisinya sambil mengucapkan salam." Riwayat Abu Dawud.
4. Tidak memasuki bilik ayah, ibu, atau sesiapa, tanpa meminta izin. Terutamanya sebelum subuh, sebelum zuhur dan selepas isyak.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hambamu dan mereka yang belum baligh meminta izin kepada kamu pada tiga waktu: sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian kerana panas tengah hari, dan selepas solat Isyak." (Surah al-Nūr: 58).
5. Tempat-tempat yang tidak dihuni, seperti hospital atau kedai, tidak memerlukan izin untuk dimasuki.
Allah SWT berfirman:
"Tidak ada salahnya bagi kamu memasuki rumah yang tidak didiami, yang ada manfaat bagi kamu. Allah mengetahui setiap yang kamu nyatakan dan sembunyikan." (Surah al-Nūr: 29).

Adab Dengan Haiwan: Soalan 21: Apakah adab-adab ketika bermesra dengan haiwan?

Jawapan:
1. Memberi makanan dan minuman kepada haiwan peliharaan.
Dalam hadis:
Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah dapat pahala jika berbuat baik kepada binatang?" Baginda menjawab, "Setiap hati yang hidup (berbuat baik padanya) dapat pahala." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi SAW pernah melintasi seekor unta yang kurus kering, lalu baginda menegur, "Bertakwalah kepada Allah pada hak haiwan-haiwan ternak ini." Riwayat Abu Dawud.
2. Bersikap rahmah dan kasihan, serta tidak membebankannya.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda, "Siapakah tuan punya unta ini?" Lalu seorang lelaki Ansar datang mengakui unta tersebut miliknya. Maka Nabi SAW menegurnya, "Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah pada haiwan ini? Allah telah meminjamkan unta ini kepadamu. Unta ini mengadu kepadaku, bahawa kamu membiarkannya lapar dan letih." Riwayat Abu Dawud dan Ahmad. Meletihkannya dengan maksud memenatkannya.
3. Tidak mengazab haiwan dengan sebarang bentuk seksaan.
Dalam sebuah hadis, seekor keldai yang bertanda bakar pada wajahnya melintas Nabi SAW, lalu baginda bersabda, "Tidakkah kamu tahu bahawa saya sudah melaknat sesiapa yang menanda bakar pada wajah haiwan, atau memukul muka haiwan?" Baginda melarangnya melakukan hal demikian. Riwayat Muslim dan Abu Dawud.

Adab Bersukan: Soalan 22: Apakah adab-adab berkaitan bersukan?

Jawapan:
1. Saya berniat sukan ini untuk menguatkan saya melakukan taat kepada Allah.
2. Tidak bersukan pada waktu solat.
Allah SWT berfirman:
"Azab berat buat orang-orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya." (Surah al-Ma'un: 4-5).
3. Tidak bersukan dengan lain jantina.
4. Memakai pakaian sukan yang menutup aurat.
5. Mengelakkan sukan yang mengandungi unsur yang diharamkan, seperti memukul wajah dan mendedahkan aurat.
Nabi SAW bersabda:
"Jika kamu bergaduh dengan saudaramu, elakkan memukul muka." Riwayat Muslim.

Adab Bergurau: Soalan 23: Sebutkan adab-adab berkaitan bergurau.

Jawapan:
1. Jujur dan tidak menipu ketika bergurau.
Dalam hadis, Nabi SAW bersabda: "Berat azab bagi sesiapa yang berdusta untuk membuatkan orang ketawa. Berat azabnya. Berat azabnya." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ahmad.
2. Bergurau tanpa mengejek, menghina, atau menakut-nakutkan.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakut-nakutkan Muslim lain." Riwayat Abu Dawud dan Ahmad.
3. Tidak berlebihan dalam bergurau.
Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah banyak gelak, kerana banyak gelak boleh mematikan hati." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah.

Adab Bersin: Soalan 24: Apakah adab-adab bersin?

Jawapan:
1. Menutup mulut dengan tangan, pakaian atau tisu ketika bersin.
2. Memuji Allah selepas bersin, dengan mengucapkan: "Alhamdulillah."
3. Hendaklah orang berdekatan dengannya berkata: "Yarhamukallah" (Semoga Allah merahmatimu).
Kemudian orang yang bersin hendaklah menjawab, "Yahdikumullah, wa yuslihu balakum." (Semoga Allah membimbing anda, dan memperbaiki urusan anda).

Adab Menguap: Soalan 25: Apakah adab-adab ketika menguap?

Jawapan:
1. Berusaha menahan menguap.
Nabi SAW bersabda:
"Menguap itu puncanya dari syaitan. Maka jika seseorang kamu mahu menguap, tahanlah semampunya." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
2. Tidak menguap dengan bunyi yang kuat.
Dalam hadis:
"Janganlah dia menguap dengan mengeluarkan bunyi 'Aaaaah'. Kerana jika kamu menguap dengan membuka mulut, syaitan akan gelak kepadamu." Riwayat Ahmad.
3. Menutup mulut dengan tangan.
Dalam hadis:
"Jika seseorang menguap, maka letaklah tangannya pada mulutnya. Kerana jika tidak, syaitan akan masuk." Riwayat Muslim.

Adab Membaca al-Quran: Soalan 27: Apakah adab-adab ketika membaca al-Quran?

Jawapan:
1. Membaca dalam keadaan suci setelah berwuduk.
2. Duduk dengan penuh sopan dan hormat.
3. Membaca istiazah sebelum membaca al-Quran.
Allah ﷻ berfirman:
"Apabila kamu membaca Al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." (Surah al-Nahl: 98).
4. Mentadabbur al-Quran.
Firman Allah SWT:
"Tidakkah mereka merenungkan Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?" (Surah Muḥammad: 24).
********

Adab Berdoa: Soalan 26: Apakah adab-adab berdoa?

Jawapan:
1. Memulakan doa dengan memuji Allah.
2. Kemudian dengan selawat kepada Nabi SAW.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda: "Jika kamu mahu berdoa, maka pujilah Allah selayak-Nya, dan berselawatlah kepadaku. Kemudian barulah berdoa kepada-Nya." Riwayat al-Tirmidhi.
3. Menadah tangan ketika berdoa.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sungguh, Tuhan kalian pemalu lagi pemurah. Dia malu untuk membiarkan hamba-Nya menadah tangan kepada-Nya, untuk membiarkan tangan itu turun dalam keadaan kosong." Riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud.
4. Bertaubat dan mengakui dosa.
Ini dicontohkan oleh Musa AS, "Musa berkata: 'Tuhanku, telahku zalimi diriku, maka ampunilah aku.' Lalu Allah mengampunkannya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, Maha Mengasihani." (Surah al-Qasas: 16).
5. Berulangkali berdoa.
6. Tidak tergesa-gesa dalam doa.
7. Tidak berdoa perkara haram atau putus silaturahim.
Dalam hadis:
"Allah akan mengabulkan doa hamba-Nya selagi dia tidak berdoa untuk dosa atau memutuskan silaturrahim, dan tidak tergesa-gesa. Sahabat bertanya: 'Apakah maksud tergesa-gesa?' Baginda menjawab: 'Dia berkata: Aku sudah berdoa, aku sudah berdoa, tetapi aku tidak melihat hasilnya,' lalu dia pun berputus asa dan meninggalkan doa." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
8. Merendahkan suara ketika berdoa.
Allah SWT berfirman:
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut." (Surah al-A`raf: 55).
9. Menghadirkan hati semasa berdoa.
Nabi SAW bersabda:
"Doalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin akan diperkenankan. Ketahuilah, Allah tidak memperkenankan doa orang yang hatinya lalai." Riwayat al-Tirmidhi.
10. Berdoa semata-mata kepada Allah, dalam keadaan lapang dan terdesak.
Allah SWT berfirman:
"Ketahuilah, masjid-masjid itu hak Allah, maka janganlah kamu berdoa kepada sesiapa di samping Allah." (Surah al-Jinn: 18).
11. Bertawasul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah.
Allah SWT berfirman:
"Allah memiliki nama-nama terindah, maka berdoalah dengan nama-nama tersebut." (Surah al-A`raf: 180).
12. Menghadap kiblat. Dalam hadis: Baginda berterusan memanggil Tuhannya dalam keadaan mengangkat tangan dan menghadap kiblat, sehingga jatuh pakaian atas baginda dari bahu baginda. Riwayat Muslim.
13. Memilih makanan dan pakaian yang baik. Dalam hadis: Kemudian baginda menyebut berkenaan seorang lelaki yang bermusafir panjang, rambutnya kusut masai, berdebu. Dia mengangkat tangan ke langit, menyeru Tuhannya. Tetapi makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, sumber gizinya haram; bagaimana diperkenankan dengan semua ini? Riwayat Muslim.

Bahagian Akhlak30

Soalan 1: Apakah kelebihan berakhlak mulia?

Jawapan: Nabi SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya." Riwayat al-Tirmidhi dan Ahmad.

Soalan 2: Mengapa kita perlu beriltizam dengan akhlak Islami?

Jawapan:
1. Akhlak Islami menyebabkan Allah mencintai kita.
Dalam hadis:
"Hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling baik akhlaknya." Riwayat al-Hakim dan al-Tabarani
2. Ia menyebabkan manusia mencintai kita.
3. Akhlak Islami adalah amalan yang paling berat di timbangan amalan.
Dalam hadis:
"Perkara yang paling berat di timbangan pada Hari Kiamat adalah akhlak yang baik." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.
4. Pahala berlipat ganda dengan akhlak yang baik.
Dalam hadis:
"Seorang Mukmin dapat mencapai darjat orang yang berjaga malam, berpuasa siang, dengan akhlaknya yang indah." Riwayat Ahmad.
5. Akhlak adalah bukti kesempurnaan iman.
Nabi SAW bersabda:
"Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 3: Apakah sumber akhlak kita?

Jawapan:
1. Daripada al-Quran. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang paling lurus." (Surah al-Isrāʾ: 9).
2. Daripada Sunnah Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda: "Sahaya diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik." Riwayat Ahmad.

Soalan 4: Apakah akhlak ihsan dan bentuk-bentuknya?

Jawapan: Ihsan adalah sentiasa menyedari pengawasan Allah, dan memberikan kebaikan kepada makhluk.
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah mencintai Ihsan pada setiap perkara." Riwayat Muslim.
Antara bentuk-bentuk Ihsan:
* Ihsan dalam ibadah, dengan menyempurnakan ikhlas.
* Ihsan kepada ibu bapa, dengan ucapan dan tindakan yang baik.
* Ihsan kepada saudara-mara.
* Ihsan kepada jiran tetangga.
* Ihsan kepada anak yatim dan orang miskin.
* Ihsan kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
* Ihsan dalam berdebat.
* Ihsan dalam berkata-kata.
* Ihsan kepada haiwan.

Soalan 5: Apakah sifat berlawanan bagi Ihsan?

Jawapan: Lawan Ihsan adalah berbuat jahat.
Antara bentuknya,
- Tidak ikhlas dalam beribadah kepada Allah.
- Derhaka kepada ibu bapa.
- Memutuskan tali persaudaraan.
- Berjiran dengan cara yang buruk.
- Tidak mengasihani orang miskin dan faqir.
- Lain-lain perbuatan dan ucapan yang buruk.

Soalan 6: Apakah jenis-jenis dan bentuk-bentuk amanah?

Jawapan:
1. Amanah dalam memelihara hak-hak Allah.
Bentuknya:
Amanah dalam melaksanakan ibadah-ibadah wajib, seperti solat, zakat, puasa, haji, dan sebagainya.
2. Amanah dalam memelihara hak-hak makhluk.
- Seperti menjaga maruah manusia.
- Menjaga harta mereka.
- Menjaga nyawakan.
- Menjaga rahsia mereka.
- Menjaga setiap amanah yang dipikulkan kepada kita.
Allah SWT menyebut antara sifat orang-orang berjaya: "Dan mereka yang memelihara amanah dan janji mereka." (Surah al-Mu’minūn: 8).

Soalan 7: Apakah lawan sifat Amanah?

Jawapan: Lawan Amanah adalah khianat, iaitu mengabaikan hak-hak Allah dan makhluk.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul-Nya, dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui." (Surah al-Anfal: 27).
Nabi SAW bersabda:
"Tanda orang munafik ada tiga" - salah satunya - "apabila diberi amanah, dia berkhianat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 7: Apakah sifat jujur?

Jawapan:
Jujur adalah menyampaikan sesuatu yang sesuai dengan kenyataan atau hakikat sebenar.
Antara bentuknya:

- Jujur dalam berkata-kata.
- Jujur dalam berjanji.
- Jujur dalam setiap ucapan dan tindakan.
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa ke syurga, dan seseorang akan terus berlaku jujur hingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang sangat jujur (Siddiq)." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 9: Apakah lawan sifat jujur?

Jawapan: Lawan jujur adalah berdusta, iaitu menyatakan perkara yang tidak realiti. Antara bentuknya, berdusta dalam berkata-kata, mengabaikan janji dan menjadi saksi palsu.
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan membawa kepada neraka. Seorang lelaki akan terus berdusta, sehingga tercatat namanya di sisi Allah sebagai Kaki Dusta." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
"Ciri orang munafik ada tiga, salah satunya: Apabila dia berkata-kata, dia berdusta. Apabila dia berjanji, dia memungkiri." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 10: Apakah bentuk-bentuk sabar?

Jawapan:
1. Bersabar dalam melaksanakan ketaatan.
2. Bersabar daripada melakukan maksiat.
3. Bersabar dalam menghadapi takdir yang menyakitkan, dan memuji Allah dalam setiap keadaan.
Allah SWT berfirman:
"Allah mencintai orang-orang yang bersabar." (Surah Ali 'Imran: 146)
Nabi SAW pernah bersabda: "Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya. Jika ditimpa kesulitan, dia bersabar dan itu juga baik baginya." Riwayat Muslim.

Soalan 11: Apakah lawan sifat sabar?

Jawapan:
- Tidak bersabar melaksanakan ketaatan,
- Tidak bersabar menahan diri dari maksiat,
- Merungutkan takdir dengan perkataan atau perbuatan.
Antara bentuknya:

- Mengharapkan mati.
Nabi SAW bersabda:
"Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian kerana kesulitan yang menimpanya. Jika dia harus melakukannya, maka hendaklah dia berdoa: Ya Allah, hidupkanlah aku selama hidup itu baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
- Menampar pipi.
- Mengoyakkan pakaian.
- Mencarik-carik rambut.
- Mendoakan keburukan buat diri sendiri.
Nabi SAW bersabda:
"Bukan termasuk golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian, dan menyeru dengan seruan jahiliyah." Riwayat al-Bukhari.
Nabi SAW juga bersabda:
"Besarnya ganjaran mengikut kadar besarnya ujian. Apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia menguji mereka. Siapa yang reda dengan ujian, maka Allah meredainya. Siapa yang tidak suka, maka Allah tidak menyukainya." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah.

Soalan 12: Apakah itu sikap kerjasama?

Jawapan: Kerjasama adalah bantu-membantu sesama manusia pada perkara yang benar dan baik.
Bentuk-bentuk kerjasama:
- Bekerjasama dalam mengembalikan hak yang diabaikan.
- Bekerjasama membantah orang zalim.
- Bekerjasama memenuhi keperluan manusia, terutamanya orang miskin.
- Bekerjasama dalam setiap amalan baik.
- Tidak bekerjasama dalam dosa dan permusuhan.
Allah SWT berfirman:
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat dahsyat balasannya." (Surah al-Ma'idah: 2)
Nabi SAW bersabda: "Hubungan antara mukmin itu seperti suatu binaan; masing-masing menguatkan yang lain." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
"Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya. Dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya. Sesiapa yang memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang menghilangkan kesulitan dari seorang Muslim, maka Allah akan menghilangkan kesulitannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan: 13: Apakah jenis-jenis sikap malu?

Jawapan:
1. Malu dengan Allah, dengan tidak melakukan maksiat kepada-Nya.
2. Malu dengan manusia, termasuklah dengan tidak mencarut, tidak melucah, tidak membuka aurat.
Rasulullah SAW bersabda:
"Iman itu memiliki lebih daripada tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang. Cabang yang paling tinggi adalah pengakuan 'La ilaha illallah' (Tiada Tuhan selain Allah), dan yang paling rendah adalah menyingkirkan sesuatu yang menyakitkan dari jalan. Malu juga merupakan satu cabang daripada iman." Riwayat Muslim.

Soalan 14: Apakah bentuk-bentuk sikap rahmah?

Jawapan:
- Merahmati dan menghormati orang-orang tua.
- Merahmati kanak-kanak kecil. Nabi SAW bersabda: "Tidak termasuk dalam kalangan kita, sesiapa yang tidak menghormati orang besar kita, dan tidak merahmati kanak-kanak kita." Riwayat Ahmad.
- Merahmati orang fakir miskin dan golongan memerlukan.
- Merahmati haiwan dengan memberi makan dan tidak menyakitinya.
Termasuk dalam sikap rahmah, apa yang dinyatakan dalam hadis Nabi SAW: "Kamu melihat orang-orang beriman itu dalam saling merahmati, saling mengasihi, saling mengasihani, seumpama satu tubuh. Jika satu anggota sakit, semua anggota lain tidak mampu lelap dan ditimpa demam." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Rasulullah SAW bersabda:
"Orang-orang yang merahmati, Allah al-Rahman akan merahmati mereka. Rahmatilah ahli bumi, nescaya (Allah) yang di langit akan merahmatimu." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 15: Apakah bentuk-bentuk sikap cinta?

Jawapan: Cinta kepada Allah SWt.
Allah SWT berfirman:
"Sedangkan orang-orang beriman sangat kuat cinta mereka kepada Allah." (Surah al-Baqarah: 165)
- Cinta kepada Rasulullah SAW.
Nabi SAW bersabda:
"Demi Allah yang jiwaku dalam Genggaman-Nya, seseorang kalian tidak beriman sehingga dia lebih mencintai saya berbanding bapa dan anaknya." Riwayat al-Bukhari.
- Cinta kepada orang Islam, dan cintakan kebaikan buat mereka seperti mencintai kebaikan buat diri sendiri.
Nabi SAW bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang, sehinggalah dia mencintai bagi saudaranya apa yang dicintai bagi dirinya." Riwayat al-Bukhari.

Soalan 16: Apakah itu kemanisan wajah?

Jawapan: Ia adalah keceriaan pada muka, yang disertai dengan rasa gembira, senyuman, kelembutan, ketika bertemu orang lain.
Ia berlawanan dengan sifat bermasam muka yang menyebabkan orang lain tidak suka.
Banyak hadis yang menyebut kemuliaan bermanis muka.
Abu Dharr RA berkata:
Nabi SAW berpesan kepadaku: "Janganlah kamu mengambil remeh mana-mana amalan kebaikan pun, meskipun sekadar berwajah manis ketika bertemu saudaramu." Riwayat Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
"Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah sedekah." Riwayat al-Tirmidhi.

Soalan 17: Apakah itu hasad?

Jawapan: Hasad adalah mengharapkan hilang nikmat pada orang lain, atau tidak suka orang lain mendapat nikmat.
Allah SWT berfirman:
"Dan aku berlindung daripada kejahatan orang hasad, apabila dia berhasad." (Surah al-Falaq: 5).
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling berhasad, janganlah saling memutuskan silaturahim. Jadilah kalian saudara mara, wahai hamba Allah sekalian." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 18: Apakah maksud mengejek?

Jawapan: Mengejek adalah mempermainkan dan merendahkan saudara muslim lain. Perbuatan ini haram.
Allah SWT mengingatkan larangan tersebut:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, mungkin sahaja mereka itu lebih baik daripada mereka (yang diejek). Dan jangan pula kaum wanita mengejek kaum wanita yang lain, mungkin sahaja mereka itu lebih baik daripada mereka (yang diejek). Janganlah kamu mencela sesama sendiri dan janganlah memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah iman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujurat: 11).

Soalan 19: Apakah itu tawaduk?

Jawapan: Tawaduk adalah seseorang tidak menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain, maka dia tidak melecehkan orang lain, dan tidak menolak kebenaran.
Allah SWT berfirman:
"Dan hamba-hamba yang dikasihi Allah itu adalah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah diri." (Surah al-Furqan: 63) Ertinya: dengan tawaduk.
Rasulullah SAW bersabda:
"Mana-mana orang yang tawaduk, Allah akan muliakan dia." Riwayat Muslim.
Nabi SAW juga bersabda:
"Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku: Hendaklah kalian tawaduk, supaya tiada sesiapa yang berbangga dan melampaui batas kepada orang lain." Riwayat Muslim.

Soalan 20: Apakah jenis-jenis takbur yang diharamkan?

Jawapan:
1. Takbur kepada kebenaran, iaitu dengan menolak dan tidak menerimanya.
2. Takbur dengan manusia, iaitu dengan memperleceh dan menghinakan mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat ketakburan, meskipun seberat zarah." Seorang sahabat bertanya, "Jika seseorang suka mengenakan pakaian cantik, selipar cantik, adakah itu takbur?" Rasulullah SAW menjawab: "Allah itu indah, Dia mencintai keindahan. Takbur itu kamu menolak kebenaran, dan memperlecehkan manusia." Riwayat Muslim.
*
*
- Pakaian yang indah dan selipar yang bagus bukanlah termasuk dalam takbur.

Soalan 21: Apakah jenis-jenis penipuan yang diharamkan?

Jawapan:
- Menipu dalam jual beli, dengan menyembunyikan kerosakan barangan.
- Menipu dalam ilmu, seperti meniru dalam peperiksaan.
- Menipu dalam berkata-kata, seperti memberi keterangan palsu.
- Tidak setia dengan kata-kata dan janji.
Nabi SAW melarang sebarang penipuan. Suatu ketika, baginda melintasi satu timbunan makanan. Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, dan jarinya terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya: "Apakah ini, wahai pemilik makanan?"
Lelaki itu menjawab:
"Ia terkena hujan, wahai Rasulullah."
Baginda bersabda:
"Mengapa kamu tidak letakkannya di atas makanan supaya orang dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu, dia bukan daripada golonganku." Riwayat Muslim.
Perkataan al-Subrah bermaksud tumpukan makanan.

Soalan 22: Apakah itu mengumpat?

Jawapan: Mengumpat adalah menyebut tentang saudara Muslim dengan sebutan yang dia tidak sukai semasa ketiadaannya.
Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah masing-masing mengumpat masing-masing. Adakah seseorang kamu suka makan daging bangkai saudaranya? Kalian membencinya. Bertakwalah kepada Allah; sungguh Allah itu menerima taubat, maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).

Soalan 23: Apakah itu mengadu domba?

Jawapan: Mengadu domba adalah perbuatan membawa-bawa cerita daripada seorang kepada seorang, untuk merosakkan hubungan mereka.
Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba." Riwayat Muslim.

Soalan: Apakah itu sikap malas?

Jawapan: Malas adalah memberat-beratkan diri daripada melakukan kebaikan dan tanggungjawab.
Antara malas yang tercela adalah bermalas-malasan dalam melaksanakan kewajipan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya orang-orang munafik mahu menipu Allah, padahal Allah yang membalas penipuan mereka. Apabila mereka pergi solat, mereka melaksanakannya dalam keadaan bermalas-malasan, hanya mahu menunjuk-nunjuk kepada manusia. Mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit." (Surah al-Nisa': 142).
Justeru hendaklah seorang yang beriman meninggalkan sikap malas dan lemah, serta berusaha untuk bekerja dan bergerak, bersungguh-sungguh dalam kehidupan ini, demi menggapai reda Allah SWT.

Soalan 25: Apakah jenis-jenis marah?

Jawapan:
1. Marah yang terpuji: Iaitu kemarahan kerana Allah, apabila orang-orang kafir dan munafik melanggar kehormatan-Nya.
2. Marah yang tercela: Iaitu kemarahan yang menyebabkan seseorang melakukan dan menyebut perkara yang tidak sepatutnya.
Penawar marah yang tercela:

- Berwuduk,
- Duduk jika sedang berdiri, baring jika sedang duduk.
- Beriltizam dengan pesanan Nabi SAW: "Jangan marah."
- Mendisiplinkan diri daripada melampiaskan kemarahan.
- Menyebut: "A'udhubillah minasy-Syaitan al-Rajim."
- Diam.

Soalan 26: Apakah itu tajassus?

Jawapan: Tajassus adalah mencari-cari dan mendedahkan kekurangan orang lain.
Antara bentuk tajassus yang diharamkan:

- Mengintip aurat orang di rumahnya.
- Mencuri dengar perbualan orang lain tanpa pengetahuan mereka.
Firman Allah:
"Dan janganlah kalian melakukan tajassus (mencari-cari kekurangan orang)." (Surah al-Hujurat: 12).

Soalan 27: Apakah itu Israf, Bakhil dan murah hati?

Jawapan: Israf adalah membelanjakan harta pada yang bukan hak. Lawannya bakhil, iaitu menahan harta daripada haknya.
Sikap yang benar adalah pertengahan antara israf dan bakhil, iaitu dengan menjadi karim (murah hati).
Firman Allah SWT:
"(Hamba yang dicintai Tuhan) itu adalah orang-orang yang apabila berbelanja, mereka tidak berlebihan, tidak juga bakhil. Sebaliknya mereka bersikap pertengahan antara keduanya." (Surah al-Furqan: 67).

Soalan 28: Apakah itu sikap bacul dan berani?

Jawapan:
Bacul adalah sikap takut pada perkara yang tidak perlu ditakuti.
Contohnya, takut bercakap perkara yang benar, dan menyalahkan perkara yang salah.
Berani adalah maju melaksanakan kebenaran.
Contohnya, maju ke medan jihad bagi membela Islam dan orang-orang Islam.
Antara doa Nabi SAW:
"Wahai Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada sikap bacul."
Rasulullah SAW bersabda:
"Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan dicintai Allah berbanding orang beriman yang lemah; tetapi masing-masing ada kadar kebaikan." Riwayat Muslim.

Soalan 29: Apakah antara bentuk ucapan yang haram?

Jawapan:
- Melaknat dan mencarut.
- Mengejek orang lain.
- Menyebut anggota aurat.
Nabi SAW telah melarang semua ucapan ini, baginda bersabda: "Seorang mukmin itu bukan pencela, bukan pelaknat, bukan yang berkata keji, dan bukan yang berkata kotor." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Hibban

Soalan 30: Apakah sebab-sebab yang membantu seorang Muslim untuk berkeperibadian dengan akhlak mulia?

Jawapan:
1. Doa kepada Allah agar mengurniakan akhlak yang indah.
2. Menghadirkan perasaan bahawa Allah sedang mendengar dan melihat kita.
3. Mengingati pahala bagi akhlak yang mulia, dan ia adalah sebab untuk masuk syurga.
4. Mengingati akibat berakhlak buruk, dan ia adalah sebab untuk masuk neraka.
5. Akhlak yang indah mengundang cinta Allah dan makhluk-Nya. Akhlak yang buruk menjemput kemurkaan Allah dan makhluk-Nya.
6. Membaca sirah Nabi SAW dan mencontohi baginda.
7. Berteman dengan orang-orang baik, menjauhkan diri daripada orang-orang jahat.
*********
Zikir terbaik adalah zikir yang disertai hati dan lidah serentak.

Bahagian Doa dan Zikir43

Soalan 1: Apakah kelebihan zikir?

Jawapan:
Nabi SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak berzikir seperti orang hidup dan mati." Riwayat al-Bukhari.
Hidup manusia dinilai melalui sejauh mana dia mengingati Allah.

Soalan 2: Sebutkan manfaat zikir.

Jawapan:
1. Mendapat keredaan Allah.
2. Menghalau syaitan.
3. Melindungi diri daripada kejahatan.
4. Memperoleh ganjaran yang besar.

Soalan 3: Apakah zikir yang terbaik?

Jawapan:
"Lā ilāha illallāh."
"Tiada yang berhak disembah selain Allah." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah.

Soalan 4: Apakah doa ketika bangun dari tidur?

Jawapan:
"Al-ḥamdu lillāh alladhī aḥyānā ba‘da mā amātanā wa ilayhi an-nushūr."
"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nyalah tempat kembali." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 5: Apakah doa ketika memakai pakaian?

"Al-ḥamdu lillāh alladhī kasānī hādhā ath-thawb wa razaqanīhi min ghayri ḥawlin minnī wa lā quwwah."
"Segala puji bagi Allah yang memberikan pakaian ini kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatanku." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi DLL.

Soalan 6: Apakah doa ketika menanggalkan pakaian?

Jawapan:
"Bismillāh."
"Dengan nama Allah." Riwayat al-Tirmidhi.

Soalan 7: Apakah doa ketika memakai pakaian baru?

Jawapan:
"Allāhumma laka al-ḥamdu anta kasawtanīhi as’aluka khayrahu wa khayra mā ṣuni‘a lahu, wa a‘ūdhu bika min sharrihi wa sharri mā ṣuni‘a lahu."
"Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. Engkaulah yang memakaikan pakaian ini kepadaku. Aku mohon kebaikannya dan kebaikan tujuan ia dibuat. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan tujuannya dibuat." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 8: Apakah doa yang dibacakan kepada kawan yang mengenakan pakaian baru?

Jawapan: Jika kamu melihat orang lain mengenakan pakaian baru, kamu digalakkan mendoakan kepadanya: "Tubli wa yukhlifu Allāhu Ta‘ālā."
"Semoga pakaian ini dipakai hingga lusuh, dan Allah gantikan dengan yang lebih baik." Riwayat Abu Dawud.

Soalan 9: Apakah doa ketika masuk tandas?

Jawapan:
"Allāhumma innī a‘ūdhu bika mina al-khubthi wal-khabā’ith."
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada gangguan jin jantan dan jin betina." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 10: Apakah doa keluar tandas?

Jawapan:
"Ghufrānaka."
"Aku memohon keampunan-Mu." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 11: Apakah doa sebelum wuduk?

Jawapan:
"Bismillāh."
"Dengan nama Allah." Riwayat Abu Dawud.

Soalan 12: Apakah bacaan selepas berwuduk?

Jawapan:
"Ashhadu an lā ilāha illā Allāh waḥdahu lā sharīka lahu, wa ashhadu anna Muḥammadan ‘abduhu wa rasūluh."
"Saya bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya." Riwayat Muslim.

Soalan 13: Apakah zikir ketika keluar rumah?

Jawapan:
"Bismillāh tawakkaltu ‘alā Allāh wa lā ḥawla wa lā quwwata illā billāh."
"Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 14: Apakah zikir ketika masuk rumah?

Jawapan:
"Bismillāh walajnā wa bismillāh kharajnā wa ‘alā Allāh rabbunā tawakkalnā. Thumma yusallim ‘alā ahlihi."
"Dengan nama Allah kami masuk, dengan nama Allah kami keluar, dan kepada Allah kami bertawakal. Lalu, hendaklah memberi salam kepada ahli rumah." Riwayat Abu Dawud.

Soalan 15: Apakah doa masuk masjid?

Jawapan:
"Allāhumma iftaḥ lī abwāba raḥmatika."
"Ya Allah, bukakan untukku pintu-pintu rahmat-Mu." Riwayat Muslim.

Soalan 16: Apakah doa keluar masjid?

"Allāhumma innī as’aluka min faḍlika."
"Ya Allah, aku memohon kurniaan-Mu." Riwayat Muslim.

Soalan 17: Apakah bacaan apabila mendengar azan?

Jawapan:
Katakan seperti apa yang diucapkan oleh muazin, kecuali pada:
"Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh" dan "Ḥayya ‘alal-falāḥ"
Hendaklah kita ucapkan:

"Lā ḥawla wa lā quwwata illā billāh."
"Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 18: Apakah bacaan selepas azan?

Jawapan: Usai azan, berselawatlah ke atas Nabi SAW. Riwayat Muslim.
Kemudian membaca:
"Allahumma Rabba hādhihi ad-da‘wati at-tāmmah, waṣ-ṣalāti al-qā’imah, āti Muḥammadan al-wasīlah wa al-faḍīlah, wab‘ath-hu maqāman maḥmūdan alladhī wa‘adtah."
"Ya Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini, dan solat yang didirikan, kurniakanlah kepada Muhammad wasilah dan keutamaan, dan tempatkanlah baginda di maqam yang terpuji seperti yang telah Engkau janjikan." Riwayat al-Bukhari.
Kemudian membaca sebarang doa yang diingini antara azan dan iqamat, kerana ia adalah waktu mustajab doa.

Soalan 19: Apakah bacaan zikir pagi dan petang?

Jawapan:
1. Membaca ayat kursi, "Allāhu lā ilāha illā huwa al-ḥayyu al-qayyūm. Lā ta’khudhuhū sinatun wa lā nawm. Lahū mā fī as-samāwāti wa mā fī al-arḍ. Man dhā alladhī yashfa‘u ‘indahū illā bi-idhnih. Ya‘lamu mā bayna aydīhim wa mā khalfahum. Wa lā yuḥīṭūna bi-shay’in min ‘ilmihī illā bimā shā’. Wasi‘a kursiyyuhū as-samāwāti wa al-arḍ. Wa lā ya’ūduhū ḥifẓuhumā. Wahuwa al-‘aliyyu al-‘aẓīm."
"Allah, tiada yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus (makhluk-Nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya setiap yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya? Tiada sesiapa. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi, Maha Agung." (Surah al-Baqarah: 255).
2. Membaca: Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Katakanlah (wahai Nabi): Sungguh, Allah itu Maha Esa. Allah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak, tidak pula diperanakkan. Dan tiada sesuatu yang setara dengan-Nya. (Surah al-Ikhlas: 1-4) sebanyak 3 kali.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi Katakanlah, wahai Nabi: Aku berlindung kepada Empunya Fajar. Daripada kejahatan makhluk yang Dia ciptakan. Dan daripada kejahatan malam apabila ia menjadi gelap-gelita. Dan daripada kejahatan peniup buhul. Dan daripada kejahatan orang yang berhasad apabila dia hasad. (Surah al-Falaq: 1-5) sebanyak 3 kali.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Katakanlah, wahai Nabi: Saya berlindung dengan Tuhan sekalian manusia, Raja sekalian manusia, sembahan sekalian manusia, daripada kejahatan syaitan yang suka memberikan waswas tetapi kerap mundur, yang memberi waswas pada dada-dada manusia, sama ada jin mahupun manusia. (Surah al-Nas: 1-6) sebanyak 3 kali.
3. Bacaan:
"Allāhumma anta Rabbī, lā ilāha illā anta, khalaqtanī wa anā ‘abduka, wa anā ‘alā ‘ahdika wa wa‘dika mā istaṭa‘tu, a‘ūdhu bika min sharri mā ṣana‘tu, abū’u laka bi ni‘matika ‘alayya, wa abū’u bi dhanbī, faghfir lī fa innahū lā yaghfiru adh-dhunūba illā anta."
"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada sembahan yang benar melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada di atas janji dan ikrar kepada-Mu sedaya upayaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku, dan aku mengakui dosaku. Maka, ampunilah aku, kerana tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau." Riwayat al-Bukhari.

Soalan 20: Apakah bacaan sebelum tidur?

"Bismika Allāhumma amūtu wa aḥyā."
"Dengan nama-Mu, ya Allah, aku mati dan aku hidup." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 21: Apakah bacaan sebelum makan?

Jawapan:
"Bismillāh."
"Dengan nama Allah." Jika terlupa mengucapkannya sebelum makan, maka bacalah: "Bismillāhi fī awwalihi wa ākhirihi."
"Dengan nama Allah di awal dan akhirnya." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 22: Apakah bacaan selepas makan?

Jawapan:
"Al-ḥamdu lillāh alladhī aṭ‘amanī hādhā wa razaqanīhi min ghayri ḥawlin minnī wa lā quwwah."
"Segala puji bagi Allah yang memberikan makanan ini kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatanku." Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah, dan lain-lain.

Soalan 23: Apakah doa yang dibacakan tetamu untuk tuan makanan?

Jawapan:
"Allāhumma bārik lahum fīmā razaqtahum, waghfir lahum warḥamhum."
"Ya Allah, berkatilah mereka atas rezeki yang Engkau berikan kepada mereka, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka." Riwayat Muslim.

Soalan 24: Apakah bacaan apabila bersin?

Jawapan:
"Alḥamdu lillāh."
"Segala puji bagi Allah." Hendaklah orang berdekatan dengannya berkata: "Yarhamukallah" (Semoga Allah merahmatimu). Kemudian orang yang bersin hendaklah menjawab, "Yahdīkumullāh wa yuṣliḥ bālakum.." (Semoga Allah membimbing anda, dan memperbaiki urusan anda). Riwayat al-Bukhari.

Soalan 25: Apakah bacaan selesai majlis?

Jawapan:
"Subḥānaka Allāhumma wa biḥamdika, ashhadu an lā ilāha illā anta, astaghfiruka wa atūbu ilayk."
"Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan lain-lain.

Soalan 26: Apakah doa menaiki kenderaan?

Jawapan:
"Bismillāh, wal-ḥamdu lillāh.
Subḥāna alladhī sakhkhara lanā hādhā wa mā kunnā lahu muqrinīn, wa innā ilā Rabbinā lamunqalibūn.
Alḥamdu lillāh, alḥamdu lillāh, alḥamdu lillāh. Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar.
Subḥānaka Allāhumma innī ẓalamtu nafsī, faghfir lī, fa innahū lā yaghfiru adh-dhunūba illā anta."
"Dengan nama Allah, dan segala puji bagi Allah. Maha Suci Dia yang telah menundukkan ini untuk kami, padahal kami tidak mampu menguasainya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Segala puji bagi Allah, Allah Maha Besar, Maha Suci Engkau, ya Allah. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku, kerana tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau." Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi.

Soalan 27: Apakah doa musafir?

Jawapan:
"Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar.
Subḥāna alladhī sakhkhara lanā hādhā wa mā kunnā lahu muqrinīn, wa innā ilā Rabbinā lamunqalibūn.
Allāhumma innā nas’aluka fī safarinā hādhā al-birra wa at-taqwā, wa mina al-‘amali mā tarḍā.
Allāhumma hawwin ‘alaynā safaranā hādhā, waṭwi ‘annā bu‘dahu.
Allāhumma anta aṣ-ṣāḥibu fī as-safar, wa al-khalīfatu fī al-ahl.
Allāhumma innī a‘ūdhu bika min wa‘thā’i as-safar, wa ka’ābati al-manẓar, wa sū’i al-munqalab fī al-māli wa al-ahl."
"Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Dia yang telah menundukkan ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya. Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu dalam perjalanan ini kebaikan dan ketakwaan, serta amalan yang Engkau redai. Ya Allah, ringankanlah perjalanan kami ini, lipatkanlah jaraknya untuk kami. Ya Allah, Engkau adalah teman dalam perjalanan dan pelindung bagi keluarga yang ditinggalkan. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kesulitan perjalanan, pemandangan buruk, dan keburukan pada harta serta keluarga."
Apabila pulang, ditambah bacaan: "Āyibūna, tā’ibūna, ‘ābidūna, li-Rabbinā ḥāmidūn."
"Kami kembali, bertaubat, beribadah, dan memuji Tuhan kami." Riwayat Muslim.

Soalan 28: Apakah doa orang musafir bagi orang yang tidak bermusafir?

Jawapan:
"Astawdi‘ukumullāha alladhī lā tuḍayyi‘u wadā’i‘uhu."
"Aku menitipkan kalian kepada Allah yang tidak akan menyia-nyiakan titipan-Nya." Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.

Soalan 29: Apakah doa orang yang tidak bermusafir kepada orang yang bermusafir?

Jawapan:
"Astawdi‘u Allāha dīnak, wa amānatak, wa khawātīma ‘amalik."
"Aku titipkan agamamu, amanahmu, dan akhir dari amalmu kepada Allah." Riwayat Ahmad dan al-Tirmidhi.

Soalan 30: Apakah doa masuk pasar?

Jawapan:
"Lā ilāha illa Allāh waḥdahu lā sharīka lahu, lahu al-mulku wa lahu al-ḥamdu, yuḥyī wa yumītu, wa huwa ḥayyun lā yamūt, biyadihi al-khayru, wa huwa ‘alā kulli shay’in qadīr."
""Tidak ada Tuhan selain Allah, Dia yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia menghidupkan dan mematikan, Dia Maha Hidup dan tidak mati. Di tangan-Nya segala kebaikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu." Riwayat al-Tirmidhi dan Ibn Majah.

Soalan 31: Apakah doa ketika marah?

Jawapan:
"A‘ūdhu billāhi mina ash-shayṭāni ar-rajīm."
"Saya berlindung dengan Allah daripada syaitan yang terlaknat." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 32: Apakah doa buat orang yang berbuat baik?

Jawapan:
"Jazākallāhu khayran."
"Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan." Riwayat al-Tirmidhi.

Soalan 33: Apakah doa apabila kenderaan bermasalah?

Jawapan:
"Bismillāh."
"Dengan nama Allah." Riwayat Abu Dawud.

Soalan 34: Apakah bacaan apabila berlaku hal yang menggembirakan?

Jawapan:
"Al-ḥamdu lillāhi alladhī bini‘matihi tatimmu aṣ-ṣāliḥāt."
"Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmat-Nya banyak kebaikan menjadi sempurna." Riwayat al-Hakim dan lain-lain.

Soalan 35: Apakah doa apabila mengalami hal yang tidak disukai?

Jawapan:
"Al-ḥamdu lillāhi ‘alā kulli ḥāl."
"Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan." (Rujuk: Sahih al-Jami').

Soalan 36: Bagaimanakah cara memberi dan menjawab salam?

Jawapan:
Seorang Muslim mengucapkan: "As-salāmu ‘alaykum wa raḥmatullāhi wa barakātuh."
"Semoga keselamatan, rahmat Allah, dan berkah-Nya menyertai kalian." Kemudian saudaranya menyahut: "Wa ‘alaykumu as-salāmu wa raḥmatullāhi wa barakātuh."
"Dan semoga keselamatan, rahmat Allah, dan berkat-Nya menyertai kalian juga." Riwayat al-Tirmidhi, Abu Dawud dan lain-lain.

Soalan 37: Apakah doa apabila hujan turun?

Jawapan:
"Allāhumma ṣayyiban nāfi‘an."
"Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat." Riwayat al-Bukhari.

Soalan 38: Apakah doa setelah turun hujan?

Jawapan:
"Muṭirnā bi-faḍli Allāhi wa raḥmatih."
"Kita diberi hujan kerana kurnia dan rahmat Allah." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Soalan 39: Apakah doa ketika angin bertiup?

Jawapan:
"Allāhumma innī as’aluka khayrahā wa a‘ūdhu bika min sharrihā."
"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikan dari angin ini, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya." Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah.

Soalan: Apakah doa ketika mendengar guruh?

Jawapan:
"Subḥāna alladhī yusabbiḥu ar-ra‘du bi-ḥamdih wa al-malā’ikatu min khīfatih."
"Maha Suci Allah yang guruh bertasbih dengan memuji-Nya, begitu pula para malaikat karena takut kepada-Nya." Riwayat Malik.

Soalan 41: Apakah doa ketika melihat orang yang diuji?

Jawapan:
"Al-ḥamdu lillāhi alladhī ‘āfānī mimmā ibtalāka bihī, wa faḍḍalanī ‘alā kathīrin mimman khalaqa tafḍīlā."
“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkanku dari apa yang sedang menimpamu, dan yang telah memberikan keutamaan kepadaku atas banyak makhluk-Nya.” Riwayat al-Tirmidhi.

Soalan 42: Apakah doa ketika takut mata hasadnya menimpa sesuatu?

Jawapan: Dinyatakan dalam hadis: “Jika salah seorang daripada kalian melihat sesuatu yang mengagumkan dari saudaranya, dirinya, atau hartanya, maka doakanlah keberkatan untuknya kerana mata hasad itu benar adanya.” Riwayat Ahmad dan Ibn Majah.

Soalan 43: Bagaimanakah selawat dan salam ke atas Nabi?

Jawapan:
“Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad, wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdum-majīd. Wa bārik ‘alā Muḥammad wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīm wa ‘alā āli Ibrāhīm, innaka ḥamīdum-majīd.”
"Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah melimpahkan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia." Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
*******

Bahagian Pelbagai26

Soalan 1: Apakah lima hukum taklifi?

Jawapan:
1. Wajib.
2. Sunat.
3. Haram.
4. Makruh.
5. Harus.

Soalan 2: Huraikan lima hukum taklifi ini.

Jawapan:
1. Wajib: Perkara yang mesti dilakukan, seperti solat lima waktu, puasa Ramadan, dan berbakti kepada ibu bapa.
- Orang yang melakukannya mendapat pahala, manakala yang meninggalkannya mendapat dosa.
2. Sunat: Perkara yang tidak wajib, seperti solat sunat rawatib, qiyamullail, memberi makan, dan memberi salam. Ia juga disebut sebagai "sunnah" atau "mandub".
- Orang yang melakukannya mendapat pahala, tetapi tidak berdosa jika ditinggalkan.
Nota Penting:

Seorang Muslim seharusnya segera melaksanakan perkara yang disebut sunat untuk mencontohi Nabi SAW.
3. Haram: Perkara yang mesti ditinggalkan, seperti minum arak, tidak menghormati ibu bapa dan memutuskan hubungan kekeluargaan.
- Orang yang meninggalkan mendapat pahala, manakala yang melakukannya mendapat dosa.
4. Makruh: Perkara yang sebaiknya ditinggalkan tetapi tidak wajib, seperti memberi atau menerima dengan tangan kiri dan menggulung pakaian dalam solat.
- Orang yang meninggalkannya mendapat pahala, tetapi tidak berdosa jika melakukannya.
5. Harus: Perkara yang boleh dilakukan atau ditinggalkan tanpa apa-apa ganjaran atau dosa, seperti makan epal atau minum teh. Ia juga disebut sebagai "boleh" atau "halal".
- Tiada pahala untuk yang melakukannya atau yang meninggalkannya.

Soalan 4: Apakah hukum jual beli dan transaksi niaga?

Jawapan: Asal bagi semua jual beli dan transaksi adalah halal, kecuali beberapa jenis yang diharamkan oleh Allah.
Allah SWT berfirman:
"Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah: 275).

Soalan 5: Apakah beberapa jenis transaksi dan jual beli yang diharamkan?

Jawapan:
1. Menipu: Seperti menyembunyikan kecacatan pada barang.
- Dalam hadis, daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah ﷺ pernah melalui sebuah timbunan makanan, lalu Baginda memasukkan tangan ke dalamnya dan mendapati tangannya basah. Baginda bertanya: “Apa ini wahai pemilik makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, wahai Rasulullah.” Baginda berkata: "Mengapa tidak kamu letakkannya di atas makanan agar orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu bukanlah dari kalanganku." Riwayat Muslim.
2. Riba: Contohnya, meminjam seribu daripada seseorang dan disyaratkan membayar balik dua ribu.
Penambahan itu adalah riba yang diharamkan. Allah SWT berfirman: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah: 275).
3. Ketidakpastian (Gharar): Contohnya, menjual susu dalam kantung susu kambing yang belum diperah, atau menjual ikan dalam air bebas yang belum ditangkap.
Dalam hadis:
"Rasulullah SAW melarang jual beli gharar (yang tidak jelas)." Riwayat Muslim.

Soalan 6: Sebutkan beberapa nikmat Allah kepada kita.

Jawapan:
1. Nikmat Islam, bahawa kita bukan daripada kalangan yang kafir.
2. Nikmat sunnah, bahawa kita bukan daripada kalangan ahli bidaah.
3. Nikmat kesihatan, seperti pendengaran, penglihatan, dan kebolehan berjalan.
4. Nikmat makanan, minuman dan pakaian.
- Nikmat Allah kepada kita banyak sekali, tidak terhitung.
Allah SWT berfirman:
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Nahl: 18).

Soalan 7: Apakah kewajipan terhadap nikmat? Bagaimana cara bersyukur?

Jawapan: Kewajiban adalah bersyukur atas nikmat-nikmat tersebut, iaitu dengan memuji Allah dengan lidah dan mengakui bahawa segala nikmat adalah kurniaan-Nya, serta menggunakan nikmat-nikmat tersebut untuk kebaikan yang diredhai Allah, bukan untuk maksiat.
Allah SWT berfirman:
"Ingatlah Aku, maka Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur." (Surah al-Baqarah: 152).

Soalan 8: Apakah hari-hari raya bagi orang Islam?

Jawapan: Hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha. Daripada Anas RA, beliau berkata: Rasulullah ﷺ tiba di Madinah dan penduduknya mempunyai dua hari yang mereka raikan, lalu Baginda bertanya: "Apakah dua hari ini?" Mereka menjawab: "Kami merayakannya pada zaman Jahiliah." Rasulullah ﷺ bersabda:
"Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu: Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri." Riwayat Abu Dawud.
Selain daripada itu adalah bidaah.

Soalan 9: Apakah bulan termulia?

Jawapan: Bulan Ramadan.

Soalan 10: Apakah hari termulia dalam seminggu?

Jawapan: Hari Jumaat.

Soalan 11: Apakah hari termulia dalam setahun?

Jawapan: Hari raya Aidiladha, atau Hari Arafah.

Soalan 12: Apakah malam termulia dalam setahun?

Jawapan: Malam Lailatulqadar.

Soalan 13: Apakah yang wajib dilakukan apabila melihat wanita ajnabi?

Jawapan: Menundukkan pandangan. Allah SWT berfirman: "Katakanlah kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka." (Surah al-Nūr: 30).

Soalan 15: Siapakah musuh-musuh manusia?

Jawapan:
1. Nafsu yang menyuruh kepada kejahatan. Iaitu apabila seorang manusia mengikuti perintah nafsunya untuk melakukan maksiat. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah Yūsuf: 53).
2. Syaitan. Dia adalah musuh anak Adam. Misinya terbesar adalah untuk menyesatkan dan membisikkan waswas kepada manusia untuk melakukan kejahatan, agar sama-sama masuk neraka. Allah SWT berfirman: "Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah: 168).
3. Kawan-kawan yang buruk, yang mendorong kepada kejahatan dan menjauhkan dari kebaikan. Allah SWT berfirman: "Teman-teman karib pada hari itu akan menjadi musuh bagi satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67).

Soalan 17: Apakah itu taubat?

Jawapan: Taubat adalah berpaling daripada maksiat, kepada ketaatan. Allah SWT berfirman: "Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar." (Surah Taha: 82).

Soalan 18: Apakah syarat sah taubat?

Jawapan:
1. Berhenti melakukan dosa.
2. Menyesali dosa yang berlalu.
3. Bertekad tidak mengulanginya.
4. Mengembalikan hak manusia yang dirampas.
Firman Allah SWT:
"Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosa mereka. Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui." (Surah Ali 'Imran: 135).

Soalan 21: Apakah makna selawat ke atas Nabi SAW?

Jawapan: Selawat bermaksud anda berdoa kepada Allah SWT agar Dia memuji Nabi-Nya SAW di hadapan para malaikat yang tertinggi.

Soalan 22: Apakah maksud Tasbih?

Jawapan: Tasbih dengan mengucapkan "Subhanallah" bermaksud menyucikan Allah SWT daripada sebarang kekurangan.

Soalan 23: Apakah maksud Tahmid?

Jawapan: Tahmid dengan mengucapkan "Alhamdulillah" bermaksud memuji Allah SWT dan menyifatkan-Nya dengan segala sifat kesempurnaan.

Soalan 24: Apakah maksud Takbir?

Jawapan: Takbir dengan mengucapkan "Allahuakbar" bermakna Allah SWT lebih besar, lebih mulia, lebih agung, lebih penting, berbanding segala sesuatu.

Soalan 25: Apakah maksud "La Hawla wa La Quwwata Illa Billah"?

Jawapan: Maksudnya: Tiada kuasa bagi hamba untuk berpindah dari satu keadaan kepada keadaan lain, dan tiada kuasa baginya untuk melakukan sedemikian, melainkan dengan bantuan Allah.

Soalan 26: Apakah makna "Astaghfirullah"?

Jawapan: Maksudnya, hamba menagih kepada Tuhannya agar memadamkan dosa dan menutup aibnya.

Soalan 3: Apakah faedah memahami ilmu agama, dan kelebihannya?

Jawapan: Memahami ilmu agama membolehkan seseorang memastikan bahawa kata-kata, perbuatan, dan kepercayaannya betul, yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat.
- Dalam hadis, daripada Muawiyah bin Abi Sufyan RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, Dia akan memberinya kefahaman dalam agama.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Maksud "memberinya kefahaman dalam agama" adalah menjadikannya faham tentang hukum-hakam agama.

Soalan 14: Apakah ciri hijab wanita Muslimah?

Jawapan:
- Tutup seluruh badan.
- Tidak ada perhiasan padanya.
- Tidak telus warna dan cahaya.
- Longgar, tidak ketat.
- Tidak disembur minyak wangi.
- Tidak menyerupai pakaian lelaki.
- Tidak menyerupai pakaian wanita kafir dan fasiq.
Allah SWT berfirman:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan wanita-wanita orang mukmin, supaya mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab: 59).
Maksud ayat:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan wanita-wanita kaum mukminin agar mereka menghulurkan kain mereka ke atas kepala dan wajah mereka daripada pakaian dan selendang mereka, untuk menutupi wajah, dada dan kepala mereka.
Hal itu lebih dekat untuk dikenali (sebagai wanita yang menjaga kehormatan) dengan penutup dan penjagaan, sehingga mereka tidak diganggu atau disakiti.
Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, kerana Dia mengampuni apa yang telah berlalu dan merahmati kalian dengan menjelaskan perkara yang halal dan yang haram."

Soalan 16: Apakah itu taqwa?

Jawapan: Taqwa adalah melaksanakan kebaikan, dan meninggalkan maksiat.
Allah SWT berfirman:
"Dan bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahwa Allah beserta orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah: 194).

Soalan 19: Apakah jalan kemenangan buat kaum Muslimin?

Jawapan: Jalan kejayaan kita adalah dengan beramal dengan syariat, dan meninggalkan dosa.
Allah SWT berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad: 7).
Allah SWT juga berfirman:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'd: 11).

Soalan 20: Apakah kepentingan berdoa?

Jawapan: Doa adalah salah satu ibadah yang paling agung dan jalan termulia untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Allah SWT berfirman:
"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.'" (Surah Ghafir: 60).
Nabi SAW juga bersabda:
"Doa adalah ibadah." Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah.